Saturday, June 27, 2009

Zizie dilamun cinta dengan ahli politik





Zizie hangat bercinta dengan ahli politik

DALAM Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) di Putrajaya, baru-baru ini, Zizie Izette sebahagian daripada artis dan selebriti yang menjadi tumpuan pada malam kemuncak itu kerana kehadirannya turut ditemani seorang jejaka dikenali sebagai Datuk S, seorang jutawan IT terkenal.

Lebih menarik, jutawan itu pernah dikaitkan dengan seorang aktres popular namun gosip berkenaan hilang begitu saja berikutan pelakon wanitea terbabit dikatakan sudah bercinta pula dengan bekas suami seorang aktres lain.

Berikutan itu, ramai menganggap wujud hubungan istimewa antara Zizie dan Datuk S, lebih-lebih lagi beliau sendiri pernah membuat pengakuan sedang menjalinkan hubungan dengan seorang ahli perniagaan yang turut aktif dalam bidang politik sebelum ini. Bagi mendapatkan kepastian mengenai hubungan mereka, satu pertemuan diatur bersama pelakon ini yang mula digilap bakat lakonannya ketika berusia 13 tahun melalui filem Kekasih Awal Dan Akhir pada 1991.



Dalam pertemuan dan sesi fotografi di Hotel Park Royal Kuala Lumpur, Selasa lalu, Zizie secara jujurnya mengakui hubungannya dengan Datuk S sudah lama terjalin dan sering keluar bersama, termasuk menemaninya ke beberapa majlis hiburan.

“Ya, memang saya mengenali Datuk S, namun tiada hubungan istimewa antara kami. Antara saya dan beliau, hubungan kami tidak lebih sebagai sepupu. Kami bersaudara dan tiada apa yang perlu disembunyikan mengenai hubungan kami. Sebenarnya, saya sendiri pun tidak menyangka kehadirannya pada malam itu (FFM21) mengundang pelbagai tanda tanya di kalangan rakan media hingga timbulnya gosip kami bercinta. Rasa mahu tergelak pun ada apabila kawan dan wartawan telefon bertanyakan hal ini,” katanya.

Beliau turut menyifatkan gosip itu sebagai peristiwa melucukan sepanjang 17 tahun pembabitannya dalam bidang lakonan.

“Mana mungkin kami bercinta kerana kami bersaudara... kami rapat macam adik-beradik. Bagus juga ada gosip ini, sekurang-kurangnya saya tahu ada orang sekeliling yang peka terhadap perkembangan diri dan kerjaya saya. Boleh juga jadi bahan lawak kami bila keluar bersama nanti,” katanya.

Akui hati sudah berpunya

TANPA berselindung, Zizie yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri popular, Spa Q (Musim Kedua), mengakui hatinya kini sudah dimiliki seorang ahli perniagaan yang mula dikenalinya sejak tujuh tahun.

“Beliau bukan Datuk S. Dia orang biasa saja... tiada apa-apa pangkat pun. Dia ada bisnes sikit dan sekarang baru berjinak-jinak dengan bidang politik. Sebenarnya, saya tidak reti mahu bercinta dengan orang kaya sebab saya seorang yang ringkas dan bersederhana.

Alhamdulillah, sudah tujuh tahun usia percintaan kami. Masing-masing pun sudah kenal hati budi dan bersedia untuk ke peringkat seterusnya. Namun, kami tidak mahu tergesa-gesa kerana mahu memberi tumpuan kepada kerjaya masing-masing terlebih dulu,” katanya.

Baginya, membina mahligai perkahwinan bukan satu kerja mudah, malah memerlukan banyak persediaan, tidak hanya dari segi mental tetapi juga fizikal dan emosi, terutama kewangan.

“Mana-mana pasangan bercinta tentunya mahu hubungan mereka diakhiri dengan ikatan perkahwinan. Namun, soal kahwin ini bukan boleh dibuat main-main kerana saya menganggap sesuatu perkahwinan itu bersifat abadi. Saya menginginkan kebahagiaan berkekalan. Sebab itulah, kita perlu membuat persediaan dari segala aspek. Walaupun belum berkahwin, saya sudah berasakan betapa sukarnya sesebuah perkahwinan itu untuk bertahan hingga terkandas di pertengahan jalan,” katanya.

Berpandukan pengalaman itu, beliau cukup berhati-hati merancang kehidupannya, termasuk membuat persediaan secukupnya sebelum menempuh alam perkahwinan.

“Saya dibesarkan tanpa kasih seorang ayah. Namun, saya tidak pernah menyesal dengan pengalaman lalu, malah menganggapnya sebagai pengajaran berguna dan panduan hidup. Yang penting, apabila saya sudah mempunyai anak nanti, saya mahu mereka menikmati kehidupan lebih baik. I’m always keep my options open, malah kekasih saya pun memahami pendirian saya. Beliau seorang yang cool dan tidak pernah mendesak untuk berkahwin. Lagipun, kalau ada jodoh tak ke mana... biarlah kami cukupkan `bekalan’ untuk masa depan dulu,” katanya.

Seronok berada dalam keluarga seni

SAMBIL mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan terhadap perkembangan kerjaya lakonannya, Zizie berkata, beliau cukup seronok mempunyai adik beradik yang turut menceburi bidang seni.

“Lebih menyeronokkan, saya yang mula-mula terbabit dalam bidang ini sebelum abang dan adik menceburinya, seolah-olah saya yang membuka laluan kepada mereka. Malah, mummy juga seorang pelakon. Tidak sangka, dalam kesibukannya menemani saya di lokasi (penggambaran) sebelum ini, tahu-tahu saja mummy turut menerima tawaran berlakon. Alhamdulillah, kehidupan kami senang sekarang dan Allah membuka pintu rezeki keluarga kami dalam bidang lakonan,” katanya.

Antara abang dan adik Zizie yang turut menceburi bidang seni ialah salah seorang anggota A To Z, Ahmad Shahal Jeffry, selain Ad Samad (penggubah lagu dan penulis lirik), Samzy Fuzette (model dan pelakon) dan Shaheizy Sam (pelakon).

“Walaupun menceburi bidang sama tetapi kami jarang berlakon dalam sebuah produksi sama. Kalau ada pun tidaklah selalu. Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak kerana bimbang tidak boleh memberikan tumpuan, terutama dalam menjiwai sesuatu watak.

Maklumlah, bila adik-beradik berjumpa mesti haru-biru jadinya. Kami takut perangai di rumah terbawa-bawa ke set hingga mengganggu penggambaran.

“Namun, saya tidak menafikan berlakon bersama abang dan adik dalam produksi yang sama agak menyeronokkan,” katanya.

Peristiwa abang ditahan polis

SELAMA 17 tahun menceburi bidang lakonan, Zizie terkenal dengan imej bersihnya dan jarang dilanda gosip liar hingga boleh menjejaskan reputasinya, malah mengenali pelakon ini, beliau seorang yang mudah mesra, bersikap terbuka serta tidak hipokrit.

“Entahlah, saya pun `nakal’ juga tetapi tidaklah sampai kena gosip. Alhamdulillah, setakat ini gosip yang saya terkena pun yang bersifat gurauan, tidaklah sampai menjejaskan nama baik saya dan keluarga. Ini bukan disebabkan saya jujur dan sentiasa berbuat pada orang.

I’m just being myself... tidak perlu jadi `plastik’. Saya percaya pada hukum karma... apabila kita berbuat baik, nanti akan dibalas baik,” katanya.

Bagaimanapun, dalam pelbagai pengalaman dilaluinya, beliau tidak dapat melupakan peristiwa seorang abangnya ditahan polis atas kesalahan dadah dalam kejadian kira-kira empat tahun lalu hingga turut menjejaskan nama baik keluarganya.

“Walaupun maruah keluarga sedikit tercalar, banyak hikmah di sebaliknya peristiwa ini. Siapa sangka, hubungan kami adik-beradik bertambah rapat selepas kejadian itu. Malah, ketika kesnya dibicarakan, kami berdiri teguh di belakangnya memberikan sokongan moral.

Syukurlah, abang saya kini banyak berubah ke arah kebaikan. Dia kini menjadi lebih positif, tenang dan menghargai kehidupan. Sebab itulah, saya percaya di sebalik apa yang berlaku, pasti ada sebabnya dan punya hikmah tersembunyi,” katanya.

INFO: Zizie

  • Nama Penuh: Zizie Izette Samad
  • Tarikh Lahir: 30 Disember 1978
  • Usia: 30 tahun
  • Asal: Batu Pahat, Johor
  • Status Perkahwinan: Bujang
  • Kerjaya: Pelakon, Model dan Pengacara
  • Mula Terbabit Dalam Bidang Seni: Ketika Berusia 13 Tahun (1991)
  • Filem: Kekasih Awal Dan Akhir, Sama Tak Serupa dan Black Maria
  • Drama/Telefilem: Lebih 100 - Antaranya Cinderella, Good Morning Cikgu, Kecil Kecil Cili Padi, Aduhai Esah, Emil Emilda dan Spa Q (Musim Kedua)
  • Teater: Mak Yong, Anak Raja Gondang, Raja Bongsu Sakti dan Mencari Juita
  • Program TV: Di Mana Joe Jambul, Cabaran Anak Malaysia dan Generasi Ke Generasi
  • Iklan Komersial: Telekom Malaysia dan McDonalds
  • Pencapaian Terbaik: Pelakon TV Wanita Terbaik Anugerah Sri Angkasa 1999; Pelakon Wanita TV Terbaik Anugerah Skrin 2003; Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia Ke-11

No comments:

Post a Comment