Saturday, June 27, 2009

Syamsul & Diana - Pernah rasa cemburu





Meskipun dianggap peminat sedang bercinta, Syamsul dan Diana lebih selesa sebagai teman rapat

TIADA kata secantik bahasa. Tiada cinta secantik kasih dan sayang. Begitu sukar membuka mulut pasangan dua sejoli, Diana mahupun Syamsul membuat pengakuan, mereka kini sedang dilamun cinta. Tiada cinta, tapi kasih dan sayang antara kedua-duanya sedang disemai dan dibaja supaya tumbuh segar di laman asmara. Bunyinya pelik, tapi itulah yang terjadi dalam hubungan rapat antara aktres Pan-Asian, Diana dengan anak teruna Datuk Yusof Haslam, Syamsul.

“Dalam meniti usia 17 tahun, istilah bercinta saya takut nak cakap. Tapi, saya tidak mampu menyembunyikan hubungan rapat dengan Syamsul. Justeru, terpulanglah kepada masyarakat di luar sana membuat tafsiran sama ada kami bercinta atau sekadar teman rapat. Yang penting, ketika ini tumpuan saya hanyalah kepada peperiksaan SPM yang bakal tiba tidak lama lagi,” kata Diana yang tidak lagi berahsia seperti dulu.

Pada masa sama, Diana turut dikaitkan mempunyai hubungan mesra dengan beberapa aktor popular seperti Iqram Dinzly, Dafi Akademi Fantasia 5 (AF5) dan Nabil Raja Lawak Astro apabila mereka sering menjayakan sesi fotografi bersama, selain berlakon. Itu belum dikira gosip cintanya dengan Sunu dari kumpulan Matta sedikit masa lalu. Terdengar desas-desus hubungan Diana dan Syamsul sering berantakan dengan gosip berkenaan.


“Syamsul susah nak merajuk, lagipun dia perlu faham kita sama-sama berada dalam industri yang sama. Tapi, lumrah apabila kita berkawan rapat, kadang-kadang timbul perasaan cemburu, kalau tak kena gaya, kita boleh berasakan diri kita dikongkong. Namun, semuanya hanya sementara saja. Bagi saya, Syamsul terlalu mengambil berat mengenai diri saya, dia tidak mahu saya melakukan sebarang kesilapan.

“Justeru, ada kalanya Syamsul risau mengenai perjalanan seni saya. Namun, dia perlu memahami saya masih muda. Saya berkawan dengan ramai orang termasuk artis lelaki. Saya dapat rasakan, mula-mula mungkin Syamsul berasakan kedudukannya sebagai teman baik agak tergugat, tapi selepas beberapa lama, dia boleh menerima diri saya seadanya,” katanya lagi.

Apa komen Diana apabila ada situasi di mana artis popular pernah dilihat cuba mendekati diri Syamsul sekalipun dia tahu bahawa Diana dan Syamsul memang berkawan rapat?

“Memang pernah berlaku situasi berkenaan, tapi itu cerita lama. Tapi, saya tak mampu berbuat apa-apa, terpulanglah kepada kejujuran Syamsul. Sepanjang mengenali Syamsul, dia bijak membuat pertimbangan. Apa yang berlaku sebelum ini sekadar dugaan dalam persahabatan. Saya pun sudah melupakan perkara itu,” kata Diana yang akhirnya setuju memberi sedikit ulasannya.

Beraya di Taiping, Perak

Bagaimana pula dengan gosip yang tersiar di B*Pop terbitan 14 September lalu yang mendakwa Diana mengamuk di lokasi penggambaran Farah Syakirah selepas menjadi mangsa curi apabila barang kemasnya dicuri oleh seorang pelakon baru, adakah pelakon berkenaan sudah memulangkan semula barang milik Diana?

“Hati siapa yang tak sakit apabila barang kita kena curi? Pun begitu, saya kecewa kerana sehingga hari ini tidak ada seorang pun yang mengaku bertanggung jawab di atas kehilangan barang kemas itu. Kita pun masih berada di bulan baik hari baik, jadi saya halalkan saja barang kemas yang ‘diambilnya’ itu,” kata Diana tidak menafikan kebenaran gosip berkenaan.

Mengenai Aidilfitri pula, Diana bersama ibunya pulang berhari raya di Taiping, Perak untuk beberapa hari saja. Pun begitu, dia tidak berselindung apabila memberitahu sebaik pulang dari kampung dia akan berhari raya di rumah Datuk Yusof, sekali gus mengakui: “Itu tak boleh miss, perkara wajib!”

Bercakap mengenai projek terbarunya selepas SPM dan menjelang 2009, Diana mengakui ada tiga filem menantinya, tapi masih di peringkat perbincangan, selain beberapa komersial TV dan duta produk.

Syamsul tak pernah kongkong Diana

Sementara itu, Syamsul juga seolah-olah sudah berpakat dengan Diana apabila berbicara mengenai status perhubungan mereka apabila sekadar memberitahu agak keterlaluan jika melabel hubungannya bersama Diana sudah memasuki fasa percintaan.

“Diana terlalu muda, lagipun dia masih belajar. Takkan saya nak mengaku saya bercinta dengan budak sekolah, tak manis bunyinya. Yang penting, kami serasi, rapat dan boleh berkongsi apa saja masalah, tiada rahsia antara kami,” jelas Syamsul yang sekurang-kurangnya melerai status perhubungannya bersama Diana.

Ura-ura Syamsul terlalu mengongkong Diana, apa yang boleh anda jelaskan: “Saya tidak pernah mengongkong Diana sepanjang perkenalan kami. Tapi, tidak dinafikan, saya terlalu mengambil berat mengenai dirinya. Berselisih faham, bergaduh sikit-sikit dan ada-kalanya kami merajuk, itu perkara biasa. Sebenarnya apabila berlaku dugaan seperti itu, ia lebih merapatkan lagi perhubungan kami, lebih kenal hati budi masing-masing.”

Mengenai persiapan raya, Syamsul berkata dia menyambut lebaran di Kuala Lumpur saja, namun mengakui, jika ada masa terluang, dia pasti menjenguk Diana dan keluarganya di Taiping.

Selepas Aidilfitri pula, Syamsul sibuk dengan proses terakhir Bohsia dan perancangan pra-produksi penghasilan Evolusi KL Drift 2. Difahamkan mengenai sekuel filem aksi berkenaan, Syamsul akan mengekalkan beberapa pelakon utamanya dan dalam masa sama, ada seorang dua pasti digugurkan.

“Saya akan melakukan sedikit perubahan pada barisan utama Evolusi KL Drift 2. Apabila ada pelakon yang digugurkan, saya sebenarnya memberi peluang kepada muka baru. Jadi, kepada mereka yang tidak tersenarai, janganlah berkecil hati,” katanya mengakhiri bicara.

Info Diana Danielle

NAMA PENUH: Diana Danielle Danny Beeson

TARIKH LAHIR: 22 November 1991

ASAL: Dilahirkan di Houston, Amerika Syarikat, namun dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berumur dua tahun

DARAH CAMPURAN: Amerika (ayah) dan Melayu (ibu)

KELUARGA: Anak tunggal

PENDIDIKAN: Bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 11 hingga 27 November depan

KOMERSIAL: Lampin Merries (ketika berusia sembilan bulan), Milo, Telekom Malaysia (TM), Hazeline Snow dan Fair & Lovely

DRAMA: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah (setiap Ahad, jam 9 malam di RTM2)

FILEM: Idola (ketika berusia sembilan tahun), Evolusi KL Drift, Malaikat Maut (belum tayang), Bohsia (belum tayang) dan Setem (belum tayang)

Info Syamsul Yusof

NAMA PENUH: Mohd Shamsul Yusof Haslam

TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Diploma Penyiaran dari Akademi TV3

DRAMA ARAHAN: Sembilu Kasih, Gerak Khas dan Air Mata Maria

DRAMA LAKONAN: Farah Syakirah

FILEM: Evolusi KL Drift dan Bohsia (belum tayang)

PENCAPAIAN: Anugerah Khas Juri untuk filem keberkesanan aksi lasak menerusi Evolusi KL Drift pada Festivel Filem Malaysia ke-21 (FFM21)

  • Lokasi: Palace of the Golden Horses (POTGH), Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor (03 8943 2333)

  • Terima kasih: Pengurus Komunikasi & Perhubungan Awam POTGH, Farah Halim

  • Solekan & dandanan Diana, Syamsul: Sasha Kimpy (017 345 7904)

  • Pakaian Diana: Michael Shu

  • Pakaian Syamsul: Koleksi peribadi
  • No comments:

    Post a Comment