![]() Memey |
Nama Memey meledak panas menghiasi dunia hiburan tempatan selepas insiden tangkap khalwat pada awal pagi 30 Oktober
LEBIH dua bulan menjadi 'pelarian cinta' dan buruan media massa, akhirnya pelakon baru, Suhaiza Suhaimi, 20, atau Memey muncul buat pertama kalinya secara eksklusif bersama B*Pop hari ini menerusi satu sesi fotografi khas di Hotel Boulevard Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Nama Memey meledak panas menghiasi dunia hiburan tempatan selepas insiden tangkap khalwat pada awal pagi 30 Oktober lalu bersama aktor popular, Norman Hakim atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di pejabat pelakon lelaki itu di Ukay Perdana, Selangor.
Justeru, industri hiburan terus bergegar gara-gara kontroversi panas itu sehinggalah membawa kepada perceraian Norman dengan isterinya, Abby Abadi, 31, pada 18 Disember lalu apabila pasangan pelakon Gerak Khas itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
![]() |
Memey pula terus ‘menghilangkan’ diri apabila tidak mahu keluar dari ‘gua’ persembunyiannya sehinggalah dia didakwa takut untuk membuat sebarang kenyataan media. Memey juga menjadi bahan kritikan media, selain ‘dihentam’ dengan pelbagai tohmahan, kononnya dialah perosak rumah tangga Norman dan Abby, manakala Norman dan Memey pula dikatakan akan bernikah dalam masa terdekat ini.
Namun, selepas dipujuk beberapa kali, selain mendapat bantuan daripada rakan karibnya, Wan Cromok yang juga seorang penerbit drama, Memey akhirnya mendapat kekuatan bertentang mata dengan penulis, sekali gus dia muncul pada sesi fotografi dengan wajah berseri-seri, ditambah busana cantik rekaan pereka fesyen terkenal, Michael Shu, menyerlahkan lagi kejelitaannya.
“Pertama sekali, saya nak minta maaf kepada pihak media massa kerana gagal memberikan kerjasama sejak berlakunya insiden berkenaan. Saya sedar, sebagai seorang public figure, saya tidak boleh berbuat begitu, namun setiap apa yang kita buat, pasti ada sebab, tujuan dan alasan. Saya memerlukan ketenangan dan kekuatan, apatah lagi saya masih terlalu mentah dalam bidang seni ini.
“Saya perlu mencari input dan kekuatan untuk berdepan dengan situasi ini. Justeru, saya mengambil langkah untuk berdiam diri. Pada masa sama, saya mencari ketenangan dan bermuhasabah diri. Menjelang tahun baru, saya rasa sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi ini. Lagipun, saya tidak akan meninggalkan bidang lakonan, maka saya harus bersedia bertemu media, peminat dan masyarakat.
“Apabila berlakunya insiden itu, suasana memang hangat dan tegang. Saya bimbang, sebarang kenyataan yang saya buat akan mengeruhkan lagi keadaan. Kini, apabila saya muncul semula selepas sekian lama menghilang, saya harap rakan wartawan, penggiat industri seni, teman artis, peminat dan masyarakat sedia memaafkan saya,” kata Memey yang ternyata sudah mendapat kekuatan berdepan dugaan hidup.
Iktibar daripada kejadian hitam itu?
“Setiap yang berlaku itu, pasti ada hikmahnya. Bagi saya, apa yang saya lalui itu adalah hari pembelajaran. Apabila melalui sesi pembelajaran itu, saya sebenarnya berdepan pengalaman sama ada manis mahupun pahit. Pengalaman itulah yang mengajar saya menjadi lebih matang pada masa depan. Setiap kritikan yang positif saya jadikan input, manakala tohmahan pula, saya jadikan sebagai pengajaran atau iktibar bagi diri sendiri,” katanya penuh keyakinan.
Sebelum ini pada 28 dan 29 Oktober lalu, Norman bersama Memey bermati-matian membuat penafian menerusi media massa bahawa mereka mempunyai hubungan istimewa sehingga menggugat keharmonian rumah tangga Norman dan bekas isterinya, Abby, namun sehari selepas itu, Norman dan Memey ditangkap khalwat. Keadaan itu memperlihatkan baik Norman mahupun Memey sebenarnya menipu peminat dan orang ramai.
Nafi tidur di pejabat Norman
"Saya akui, mungkin kenyataan saya yang berdolak-dalik sebelum ini mengguris hati media dan orang ramai. Tapi, seperti saya katakan tadi, setiap apa yang kita buat, pasti ada sebab, tujuan dan alasan. Kini, baru saya sedar hukum karma. Itu juga satu pengajaran bagi saya. Setiap apa yang kita cuba selindung, suatu hari nanti kebenarannya akan terbukti. Sekali lagi saya minta maaf kepada semua,” kata Memey yang kelihatan sedikit sebak.
Desas-desus sebelum ini mendakwa, sebelum kejadian tangkap khalwat itu, Memey sebenarnya sudah beberapa bulan tinggal di pejabat Norman di Ukay Perdana itu apabila kereta Memey sering dilihat berada di bawah premis berkenaan. Sejauh mana kebenaran khabar angin itu?
“Itu satu tohmahan, saya tak pernah tidur di pejabat Norman! Tapi, saya tak nafikan, saya sering ke situ atas urusan kerja. Saya akui, apabila kami sering bekerjasama, secara tak langsung persahabatan itu menjadi lebih akrab. Keluarga saya tahu, saya ke pejabat Norman atas urusan kerja. Tapi, kita tak sedar, apa yang kita buat kadang-kadang menimbulkan perspektif negatif di mata orang ramai.
“Yang penting, keluarga saya tahu. Justeru, apabila terjadi insiden berkenaan, keluarga tidak terus menyalahkan saya,” jelasnya lagi.
Memey menambah, perbicaraan kes khalwat dirinya dan Norman akan berlangsung dalam masa terdekat ini.
Belum bernikah dengan Norman
Sebelum itu, muncul pelbagai spekulasi kononnya Norman dan Memey sudah bernikah secara sembunyi di sempadan Thailand. Selain itu, angin bertiup kencang, khabarnya Norman akan memperisterikan Memey dalam masa terdekat ini, tambahan pula status dirinya yang kini bergelar duda.
“Terus-terang untuk pengetahuan semua, saya dan Norman belum bernikah! Apa yang dijaja selama ini hanyalah spekulasi,” tegas Memey.
Norman dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, dia akan bertanggungjawab ke atas diri Memey. Justeru, adakah Norman dan Memey ada perancangan untuk berkahwin sedikit masa lagi?
“Perkara ini terlalu peribadi untuk diceritakan secara terbuka. Sebarang kenyataan saya bakal mengguris hati banyak pihak. Saya tak mahu isu kahwin ini jadi spekulasi lagi kerana antara kami, tidak pernah ada sebarang perancangan ke arah itu (berkahwin). Apabila Norman pernah memberitahu dia akan bertanggungjawab, itu kenyataannya bukan saya.
Bagaimana pula dengan dakwaan kononnya Norman pernah dilihat berkunjung ke rumah keluarga Memey di Kota Tinggi sehingga ada gambar anda berdua sebagai bukti kunjungan berkenaan? Memey pula khabarnya membalas kunjungan itu apabila anda dilihat berada di rumah keluarga Norman di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. Desas-desus mendakwa, kedua-dua kunjungan berkenaan membincangkan soal perkahwinan. Apa komen Memey?
“Memang benar mengenai kedua-dua kunjungan itu. Tapi, semua pertemuan itu tidak pernah membincangkan soal perkahwinan kami, sebaliknya ia lebih kepada mempereratkan perhubungan silaturahim antara keluarga, memohon maaf di atas apa yang berlaku. Bukan menjadi satu kesalahan, lagipun hubungan saya dan ibu Norman, baik. Kebetulan ibunya tak sihat, jadi saya ke Kuantan menziarahinya. Langsung tak bincang soal kahwin,” katanya berterus-terang.
Mohon maaf pada Abby
Bagi Memey, keluarganya di kampung memainkan peranan penting kerana mereka bertanggungjawab memberinya kekuatan berdepan dugaan dan ujian dalam meniti kehidupan, selain berdepan kritikan dan cemuhan orang ramai yang maha hebat, keluarga sentiasa berada di belakangnya memberi sokongan supaya dia tidak mudah patah semangat.
Memey dikatakan punca keretakan dan orang ketiga dalam kehancuran rumah tangga Norman-Abby, adakah Memey bersedia berdepan kenyataan itu?
"Adalah tidak adil untuk mengatakan saya adalah 'pesalah' atau punca utama keretakan rumah tangga mereka. Namun, terpulanglah kepada orang ramai membuat penilaian terhadap diri saya. Saya tak kisah apa mereka nak cakap. Mungkin insiden 30 Oktober lalu sedikit sebanyak menjadi faktor sampingan kepada keretakan rumah tangga mereka, itu saya tak nafikan. Tapi, jangan terus menyalahkan saya, saya juga ada kelemahan.
"Apa yang Tuhan tunjukkan kepada saya, itu satu pengajaran. Walaupun pahit, saya perlu reda dengan apa yang berlaku. Maafkan saya," kata Memey yang sekali lagi kelihatan agak sebak.
Kata-kata Memey kepada Abby atau mungkin anda sudah bersedia untuk bersemuka dengannya?
"Saya mohon maaf secara terbuka, daripada hujung rambut sampai hujung kaki. Sebagai seorang wanita, pasti dia (Abby) ada perasaan marah terhadap diri saya berdasarkan kenyataannya sebelum ini, sekali lagi saya minta maaf. Namun, saya belum bersedia bertemu dengannya, insya-Allah suatu hari nanti, kami pasti akan bertemu," kata Memey.
Norman pernah mengakui, dia menyayangi Memey, adakah Memey juga berperasaan yang sama?
"Dia hanya cakap kepada media, bukan di depan saya. Jadi, saya tidak mahu mengiyakan atau menafikannya, biarlah masa sebagai penentu," akui Memey penuh makna.
Selepas kejadian tangkap khalwat itu juga, Memey mengakui dia terpaksa menolak semua tawaran lakonan kerana dia tidak mahu 'gangguan'. Namun, Skop Productions terus membuka peluang kepada dirinya apabila dia bakal membintangi sambungan drama bersiri, Roda-Roda Kuala Lumpur yang dijadualkan memulakan penggambaran awal Februari ini.
Info Memey
NAMA SEBENAR: Suhaiza Suhaimi
TARIKH LAHIR: 25 Mac 1988
ASAL: Kota Tinggi, Johor
KELUARGA: Anak ketiga daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Tenggaroh A, Kota Tinggi
DRAMA: Graduan, Elit, Pasrah, Dunia Baru 3, Roda-Roda Kuala Lumpur, Tragedi Oktober, Lara Rindu Mahsuri dan Farah Syakirah
PENGACARAAN: Diari Anak Seni (RTM)
PROGRAM TERBARU: Tetamu segmen Gelora, Wanita Hari Ini (WHI) TV3, jam 12 tengah hari, 13 Januari 2009
Lokasi: Hotel Boulevard, Mid Valley City, Lingkaran Syed Putra, Kuala Lumpur (03 2295 8000
)
Terima kasih: Pengurus Komunikasi, Huang Chia Ming
Pakaian: Michael Shu (012-9853618
)
Solekan & dandanan: Rose Suci (012...
) menggunakan Elysyle, kosmetik Elken
No comments:
Post a Comment