Saturday, June 27, 2009

Jangan gosip kami

Jangan gosip kami


Liyana Jasmay

Biarpun tidak pernah bertentang mata sebelum ini, pertemuan pertama cukup menghiburkan. Liyana selamba dan suka mengusik, Aizat pula malu-malu namun mereka bagaikan ada keserasian

SIAPA sangka dua anak tokoh korporat, Liyana Jasmay dan Aizat akhirnya memilih jalan getir dalam dunia seni. Apa sebenarnya yang dicari? Bergelar anak seni bukanlah semudah yang disangka, jika silap perhitungan, hanya gosip dan kontroversi menjadi peneman diri. Atau, populariti jadi kepuasan diri?

Kalau sebut nama Liyana Jasmay, 20, tentu ramai yang masih ingat lakonannya sebagai Phim menerusi filem pertama, Castello bersama Rosyam Nor. Begitu juga Aizat, 19, beliau kini cukup popular dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu selepas pertaruhannya dalam Akademi Fantasia 5 (AF5) gagal ke peringkat akhir.

Buat kali pertama dalam hidup mereka, Liyana dan Aizat digandingkan dalam satu sesi fotografi untuk muka depan sama ada akhbar mahupun majalah. Biarpun tidak pernah bertentang mata sebelum ini, pertemuan pertama cukup menghiburkan. Liyana selamba dan suka mengusik, Aizat pula malu-malu namun mereka bagaikan ada keserasian.

Aizat

Sesi fotografi petang itu kecoh dengan gelagat dua anak tokoh korporat itu. Meskipun baru berkenal dan sudah mesra, mereka bagaikan meminta jangan selepas ini ada pihak sengaja untuk gosipkan mereka kononnya sedang bercinta.

Sambil menjeling pada Aizat, Liyana akui: “Saya tengok Aizat ketika di AF5 dulu, saya memang minat pada suaranya. Paling saya suka apabila Aizat menyanyikan lagu Perpisahan (Anuar Zain), suaranya boleh buat bulu roma meremang. Aizat mulanya nampak pemalu, tetapi lama kelamaan, kami seolah-olah sudah seperti lama mengenali.

“Paling penting, Aizat sudah buktikan pada masyarakat, dirinya boleh kuruskan badan tanpa mengambil apa-apa ubat diet. Bukan senang nak kuruskan badan tanpa usaha dan tekad.”

Liyana juga akui bukan populariti dicari, bukan juga keseronokan diingini sebaliknya kerjaya sebagai anak wayang dipilih kerana minat yang mendalam.

“Ada yang mempertikaikan kenapa saya minat sangat berlakon sedangkan dengan kedudukan yang ada, saya boleh memilih kerjaya lain yang lebih menjamin. Soalnya jika hati sudah suka, saya tidak boleh menidakkannya.

“Keluarga juga tidak pernah menghalang minat saya, malah ibu bapa sentiasa memberi galakan walaupun hidup sebagai anak seni akan ada pasang surutnya. Dulu saya berlakon kerana minat dan ingin mencuba tetapi apabila sudah berlakon, ia mula bertukar menjadi sesuatu yang menyeronokkan.Berlakon mula memberi kepuasan dan keyakinan diri. Saya juga akan bosan jika lama tak beraksi di hadapan kamera."


Liyana mahu jadi penerbit filem

Liyana akui minatnya dalam bidang lakonan juga membuatkannya memilih untuk meneruskan pengajian dalam Diploma Seni Persembahan di Kolej Sunway, Selangor. Selepas ini, impiannya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara.

“Saya nak buktikan pada keluarga dan masyarakat, anak seni juga boleh berjaya dan disegani. Saya mengimpikan mahu melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk mendalami bidang seni. Saya memilih bidang lakonan dan penerbitan filem jika ada rezeki dapat melanjutkan pelajaran.

“Perjalanan kerjaya saya bukan hanya sekadar menjadi pelakon, sebaliknya saya bercita-cita menjadi penerbit filem atau drama suatu ketika nanti. Dan bagi saya, bukan hanya pengalaman, pelajaran juga perlu ada untuk merealisasikan cita-cita besar saya dalam bidang seni,” katanya yang kini sedang menunggu tayangan lima filemnya.

Selepas Castello dan Syaitan, dalam diam Liyana sudah menyiapkan lima filem lain iaitu Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom dan Duhai Si Pari Pari. Filem berkenaan sedang menunggu tarikh tayangan.

Aizat jatuh hati pada Phim

WALAUPUN dibuli dan sering diusik, Aizat hanya tersenyum malu. Puas hatinya kerana impian bertemu dengan Liyana akhirnya termakbul.

"Saya memang sudah lama teringin nak jumpa Liyana, apabila diberi pilihan memilih gadis untuk digandingkan dalam fotografi, tentunya Liyana jadi pilihan. Saya suka karektor Liyana, selain selamba dan gila-gila, dia juga memiliki wawasan hidup yang tinggi.

“Paling penting, Liyana tidak bergantung hidup pada keluarga, walaupun keluarganya di kalangan orang berada. Tapi hubungan saya dan Liyana hanya sekadar kawan sesama artis, lagi pun Liyana sudah berpunya. Liyana dengan jujur memberitahu saya, hatinya sudah dimiliki. Namun siapakah jejaka yang bertuah itu, kena tanya Liyana sendiri.

“Jangan salah faham, saya hanya jatuh cinta dengan lakonan Liyana terutama ketika bawa watak Phim. Dan tak sangka pula apabila digandingkan bersama, kami sebenarnya mempunyai chemistry, seolah-olah berkawan lama. Liyana juga pandai menjadikan suasana kecoh dengan gelagatnya yang suka mengusik,” katanya.

Ayah, Umi banyak membantu

Akuinya ada beranggapan dirinya menggunakan aset keluarga untuk merealisasikan impian bergelar artis rakaman. Aizat juga dianggap bertuah memiliki produksi sendiri, Kasi Gegar Entertainment kerana dilahirkan atas `dulang emas'. Walaupun kos keseluruhan albumnya mencecah RM100,000, ada yang beranggapan jumlah itu agak kecil buat Aizat dan keluarganya.

Aizat tidak menafikan kenyataan itu tetapi pada waktu yang sama, dia turut berusaha mengejar apa yang diimpikan.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki daripada Allah. Tanpa keizinanNya, apa yang saya rancang tidak mungkin menjadi kenyataan. Pada waktu sama, saya turut berusaha. Minat dan membesar dalam keluarga yang meminati muzik turut menjadi kelebihan.

“Muzik dan keluarganya bagaikan irama dan lagu, yang tidak dapat dipisahkan. Keluarganya berkebolehan bermain instrumen muzik seperti gitar dan dram serta ada antaranya yang boleh menyanyi seperti saya. Yang menjadi pencetus segala-galanya semestinya Umi dan ayah saya, Datuk Amdan Mat Din. Ayah pun pernah ada kugiran sendiri sebelum ini.

“Umi pula memperturunkan khazanah bakat dan ilmunya bermain gitar kepada abang sulung saya. Seterusnya ia berentetan dan menjadi warisan keluarga kami. Jadi apabila saya terkeluar dari AF5, keluargalah yang memberi galakan untuk saya menubuhkan produksi Kasi Gegar Entertainment dan album solo,” katanya.

  • Info Liyana

    Nama: Liyana Jasmay

    Asal: Kuantan, Pahang

    Umur: 20 Tahun

    Tarikh lahir: 28 Mac 1988

    Kerjaya: Pelakon & pelajar

    Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-19

    Filem: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom & Duhai Si Pari Pari

  • Info Aizat

    Nama: Muhammad Aizat Datuk Amdan

    Asal: Kuala Lumpur

    Umur: 19 Tahun

    Tarikh Lahir: 21 Januari 1989

    Kerjaya: Penyanyi & komposer

    Album: Percubaan Pertama

    Solekan: Kea Lorna (019- 644 6349)

    Busana: Koleksi Liyana & Aizat
  • No comments:

    Post a Comment