Saturday, June 27, 2009

Mesra tak bererti cinta Que Haidar dan Sharifah Amani





Kemesraan yang jelas tergambar tatkala mereka sering bertemu pada majlis dan sesi fotografi bagaikan mengakui gosip yang ditujukan pada mereka bagaikan satu kisah realiti

GOSIP cinta antara Que Haidar dan Sharifah Amani mungkin sudah lama reda dan terjawab, namun kehangatan asmara itu seolah-olah kembali berputik apabila untuk pertama kalinya mereka digandingkan di layar seluloid. Filem Selamat Pagi Cinta (SPC) yang bakal menjengah panggung di seluruh negara bermula 20 November ini menjadi bukti keserasian pasangan yang berkongsi bintang Gemini ini.

Bukan itu saja, kemesraan yang jelas tergambar tatkala mereka sering bertemu pada majlis dan sesi fotografi bagaikan mengakui gosip yang ditujukan pada mereka bagaikan satu kisah realiti. Mungkin mereka pandai menyimpan rahsia cinta dan belum berani untuk bersuara bagi meluahkan isi hati masing-masing.

"Tidak kami nafikan, personaliti, karakter dan perwatakan yang hampir sama ini membuatkan kami mudah mesra dan cukup serasi bersama bukan saja di luar, malah di rumah kedua kami, iaitu di lokasi penggambaran," demikian keletah pemilik nama sebenar Sharifah Amani, 22, ketika ditemui B*Pop selepas majlis pratonton SPC terbitan MIG Productions Sdn Bhd, pada Rabu lalu.



"Bergandingan dengan Que dalam filem yang sama memang sudah lama saya idamkan, sejak menggilai lakonannya dalam filem KL Menjerit lagi, apatah lagi dalam SPC kami adalah pasangan kekasih," akurnya yang cukup menonjol bakat semula jadi lakonan selepas membintangi Sepet dan Gubra arahan Yasmin Ahmad.

Hakikatnya, warga kerja SPC membabitkan kerjasama pasukan generasi muda termasuk Norliana Samsudin atau Yana selaku sutradara dan Pierre Andre sebagai penulis skrip, cukup menjadikan penerima Anugerah Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-18 ini teruja untuk memegang watak Suci. Malah, perasaan sayang dan hormat yang tidak terhingga terhadap Que sebagai kawan baik mengukuhkan lagi alasan untuknya membintangi SPC.

Menilai perawakan dan sikapnya yang cukup bertegas dengan pendirian juga cepat memberi maklum balas ke atas apa isu berbangkit, bukan perkara mengejutkan kerana gadis kelahiran Petaling Jaya, ini cukup mengenali siapa dirinya.

"Mulut saya memang macam bertih goreng, kadangkala saya rasa ia berfungsi lebih pantas dari proses otak berfikir," jelasnya yang cukup berharap keletah, kepintaran, ketelusan dan kejujurannya tidak disalah anggap.

Anak kedua kepada aktres veteran dan penggiat teater, Fatimah Abu Bakar ini bukan saja pernah dikaitkan dengan Que tetapi juga pelakon baru, Isma Yusoof (gandingannya dalam slot Samarenda Emil Emilda).

"I don't talk about my private live. Saya berada dalam industri ini untuk bekerja, untuk membina dan membangunkan gelanggang perfileman tanah air, bawa perubahan, bukan memperdagangkan cerita peribadi yang sensasi. Lakonan adalah jiwa saya dan bila saya berada di set, rohani dan jasmani saya seolah bersatu dengannya," jelasnya yang menghargai setiap saat berada di lokasi bersama pelakon muda sehebat Que.

Cerita Amani, kelebihan Que yang sukar dicari pada pelakon muda lain adalah keupayaan menjiwai dan mendalami emosi serta memanipulasi perasaan dalaman dengan baik sehingga mampu menyentuh banyak jiwa.

Bagi Que Haidar, 29, pula mengakui dia tidak dapat lari dari berhadapan dengan pelbagai cerita kurang enak membabitkan kehidupan peribadinya.

Que enggan komen gosip cinta dengan Linda

Terbaru, kisahnya yang semakin intim dengan guru tari terkenal, Linda Jasmine menjadi topik perbincangan hangat dunia seni tanah air. Namun, pelakon yang mula melonjak namanya menerusi lakonan dalam filem Castello ini lebih selesa untuk mendiamkan diri dan mengunci rapat mulutnya setiap kali diajukan persoalan itu.

"Sebagai manusia biasa kita perlu beri ruang untuk diri bernafas walaupun setiap gerak geri dan perbuatan kita menarik perhatian ramai. Peribadi tetap peribadi, saya enggan mengulas lanjut kerana merasakan ia memang terlalu peribadi," ujarnya yang bakal muncul dalam telemovie arahan Afdlin Shauki berjudul Orang Minyak Naik Minyak di Astro Prima hari ini.

Pernah membintangi filem seperti Rock, Bilut, Cinta, Gangster, Que yang membawa watak Haikal dalam SPC mengakui sangat menghormati Amani sebagai seorang pelakon yang memiliki bakat semula jadi.

"Siapa yang tidak kenal ibunya, guru seni lakon Fatimah Abu Bakar yang cukup disegani dan dihormati. Jadi terang-terangan darah seni itu mengalir hangat dalam tubuhnya,� ceritanya terkenang sikap Amani yang cukup suka menyakat menceriakan lagi suasana di set penggambaran.

Sebagai teman, Amani yang cukup senang didekati dan bersikap tidak pilih bulu membuatkan semua orang selesa dengan caranya bekerja.

"Jadi, bukan sesuatu yang pelik jika anda melihat kemesraan Amani dengan teman-temannya di luar lokasi penggambaran sehingga mengundang pelbagai tanggapan," kata Que.

  • Info menarik Que Haidar

  • Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau lebih dikenali sebagai Que Haidar dilahirkan pada 30 Mei 1979 di Felda Taib Andak, Kulai, Johor.

  • Teringin melakonkan watak yang kurang dialog tetapi banyak bermain dengan ekspresi dan air muka.

  • Wajah dan saiz tubuhnya memberi banyak kelebihan kepadanya untuk melakonkan pelbagai jenis watak. Walaupun demikian, ia tidak bermakna dirinya cukup menguasai lakonan.

  • Teringin membawa karakter superhero dilengkapi kostum pelik dan hebat.

  • Mahu dihargai khalayak dengan memberi standing ovation kerana kerja sebagai pelakon.

  • Kalau boleh suatu hari nanti mahu diri dihargai sebagai seorang seniman filem Melayu.

  • Bercita-cita untuk berlakon di luar negara, namun jika ia tidak kesampaian memadai dihormati di negara sendiri kerana kerja dan sumbangan sebagai anak seni.

  • Filem terbarunya, Malaikat Maut arahan Bade Azmi bakal ditayang Januari depan selain Stamp, Duhai Si Pari-Pari, Papadom dan Skrip 7707.

  • Info menarik Sharifah Amani

  • Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya dilahirkan pada 10 Jun 1986 di Petaling Jaya, Selangor.

  • Ketika menjawab persoalan saiz tubuhnya yang dilihat kurang ampuh membawa watak utama jawabnya mudah: "I don't really care kerana kecil saya, kecil-kecil cili padi. Jangan sangka pengarah kita berfikiran secetek itu. Jika saiz jadi masalah, mengapa saya masih menerima tawaran membawakan watak pendukung."

  • Bercita-cita menulis skrip dan mengarah suatu hari nanti tapi menggunakan nama samaran bertujuan melihat reaksi khalayak terhadap hasil sulungnya nanti.

  • Baginya, filem bukan saja satu paparan cara hidup, ia adalah wang, darah, keringat dan air mata pendukung dan insan yang menyanjunginya.

  • Mahu diri dikenang dan dihargai seperti mana Tan Sri P Ramlee dan Saloma.

  • Bercita-cita mengembalikan era kegemilangan filem Melayu seperti zaman Shaw Brothers dan Cathay Keris di Jalan Ampas, singapura pada era 1950-an.

  • Selain sibuk dengan penggambaran drama 13 episod Rona Roni Makaroni, filem Mualaf bakal ditayang di Singapura pada 27 November ini, manakala Sayang You Can Dance pada Mac depan.
  • No comments:

    Post a Comment