Nama Ayu tersenarai sebagai finalis kategori khas penaja, Anugerah Pantene Shine Anugerah Skrin 2008 bersama Jue Aziz, Wan Sharmila, Carmen Soo dan dan Sherry Ibrahim
SUKAR untuk menafikan kehadiran wajah klasik Melayu si gadis pemilik nama Ayu Raudhah, tambah pula kebelakangan ini raut yang bisa mencairkan hati sang jejaka ini kali muncul menghiasi kaca televisyen menerusi drama bersiri mahupun telemovie. Satu demi satu drama silih berganti, bermula cubaan pertama menerusi drama berjudul Terima Kasih Anna (slot Dilema Wanita) arahan Erma Fatima, rezeki Ayu atau pemilik nama sebenar Raudhah Che Wan, 24, ini menjadi semakin murah.
Sememangnya Erma adalah pelakon wanita di Malaysia yang amat dikaguminya. "Ayu kagumi Erma kerana lakonannya hebat dan ketika menjadi pengarah, dia juga serius dan berdisiplin, mungkin saya boleh ikut jejak dia suatu hari nanti," kata Ayu.
"Syukur... sejak melangkah ke pentas seni lakon dengan restu keluarga, rezeki bertambah murah kerana kebanyakan tawaran berlakon yang diterima membabitkan produksi drama bersiri," akur gadis manis yang mula menyerlah menerusi drama Manjalara sebanyak 60 episod.
Dia adalah barisan pelakon pelapis yang bakal menggemparkan industri perfileman di Malaysia
Anak keenam daripada tujuh beradik ini juga agak terkejut dan tumpang bangga apabila drama lakonannya berjudul Pulanglah Di Aidilfitri yang disiarkan tahun lalu arahan Azmi Musa terbitan Suar Channel Production Sdn Bhd dicalonkan dalam kategori telemovie Anugerah Skrin 2008 (ASK2008) yang akan berlangsung pada 7 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Lebih membanggakan, nama Ayu tersenarai dalam calon top five bagi kategori anugerah khas penaja iaitu Anugerah Pantene Shine ASK 2008 bersaing dengan Jue Aziz (Jangan Main Belakang); Wan Sharmila (Abang Mak Panggil Balik), Carmen Soo (Ghost) dan Sherry Ibrahim (Elly).
"Ayu tidak nafikan khalayak TV sebenarnya punya kuasa dan pengaruh paling besar dalam menentukan dan menilai keupayaan betapa berjayanya seseorang aktor atau aktres itu membawakan sesuatu karakter. Siapa yang tidak menaruh harapan jika sudah layak ke final, begitu juga Ayu, tetapi berdebar menantikan keputusan bagi kategori ini. Namun, untuk kategori yang lebih berat seperti Aktres Terbaik atau Aktres Pembantu Terbaik, Ayu memang tidak terfikir boleh menang, ia jauh lagi untuk diri Ayu. Ayu kena timba banyak lagi pengalaman dan terus perbaiki kelemahan yang ada.
"Jadi mesej dan nilai budaya yang cuba disampaikan kepada khalayak majoriti ini menerusi drama berangkai atau bersiri cukup kritikal berbanding khalayak filem.
"Tidak hairanlah jika suatu lakonan yang berjaya mampu membuat penonton setia bukan saja konsisten mengikuti drama berangkai malah mampu buat mereka jadi benci, sedih, marah, sayu malah menzahirkan pelbagai lagi warna emosi," jelasnya yang turut membintangi Hidayah, KL Menjerit The Series, Dari Mata Arisa dan terbaru masih giat menjalani penggambaran drama 60 episod berjudul Sutera Maya. Drama itu kini sudah mula mengisi slot Akasia di TV3, bermula Ramadan lalu dengan jangka masa tayangan hampir dua bulan.
Sebagai seorang yang sangat fokus dalam kerjaya, adik kepada model dan aktres popular, Rozita Che Wan ini berpegang kepada prinsip tidak akan menerima banyak tawaran berlakon dalam satu masa. Mudah cakap, dia tidak mahu tamak untuk terima banyak tawaran dan akhirnya menjejaskan mutu lakonannya.
"Ayu seorang yang fokus, entahlah pening bila terpaksa membahagikan tumpuan kepada berbilang perkara pada satu masa, silap-silap menyusahkan orang lain pula kalau gagal komited. Dalam apa keadaan sekalipun, setiap kali mendapat skrip baru, Ayu dan Kak Ta (panggilan untuk Rozita) akan berbincang terlebih dulu," sambungnya lagi yang pernah digandingkan bersama kakaknya dalam drama Berakhirnya Satu Penantian.
Pernah dipikat ahli korporat
Lumrah bila sudah bergelar selebriti setiap pergerakan dan gerak geri akan mengundang perhatian masyarakat baik dari segi penampilan imej dan pakaian apatah lagi cerita berbaur kontroversi dan gosip.
"Memandangkan Kak Ta lebih dulu melangkah ke dunia seni lakon, setiap kali timbul sebarang cerita kurang enak mengenai dirinya, perasaannya tidak ubah seperti cubit peha kanan, peha kiri turut terasa. Ayu kenal siapa kakak, buat tak endah saja sebab kita tidak mungkin dapat tutup mulut semua orang. Bila penat berhentilah mereka," katanya jujur.
Serba salah dibuatnya, apabila berkawan orang salah faham, bila tidak berkawan pula orang tuduh antisosial. Sebagai manusia biasa, tidak mungkin kita dapat memuaskan hati semua orang dan tidak semua orang akan menyenangi kehadiran kita.
Ditanya siapa jejaka bertuah yang sedang menghuni hatinya, jawabnya sambil tertawa: "Kalaulah Ayu sudah berpunya, tentu asyik kena marah saja. Bukan tidak teringin untuk berteman tetapi jadual penggambaran yang terlalu ketat membataskan. Mungkin belum sampai waktunya lagi," akurnya yang pernah cuba didekati kalangan VIP termasuk penerbit dan ahli korporat.
Apa yang pasti, bagi Ayu Raudhah, soal hati buat masa ini bukan keutamaan. Keluarga dan kerjaya perlukan perhatian.
"Rezeki Ayu dalam bidang lakonan makin cerah, kala khidmat dan bakat masih diperlukan, sayang peluang berharga ini tidak dimanfaat sebaik mungkin," ujarnya yang menyimpan cita-cita untuk mengusahakan perniagaan butik sebagai jaminan masa depan.
Info Raudhah
Mengenai Ayu Raudhah
No comments:
Post a Comment