Saturday, June 27, 2009

'Kami belum berpunya'





MEREKA sama-sama pernah melalui kemelut dalam percintaan namun tiada perkataan 'serik' di hati Farid Kamil mahupun Lisa Surihani untuk bercinta lagi.

Lisa, 22, bekas graduan undang-undang, Universiti Aberystwyth, Wales baru saja putus cinta dengan seorang anak menteri kabinet sekembali pulang ke tanah air bulan lalu, manakala Farid, 27, pula masih belum bertemu si dia yang serasi selepas putus cinta dengan pelakon Irma Hasmie suatu ketika dulu.

Farid dan Lisa digandingkan bersama dalam filem I'm Not Single arahan Pierre Andre yang diterbitkan Metrowealth Movies Production (MMP). Filem bergenre komedi romantik itu bakal menemui penonton di pawagam bermula 24 Julai ini. Selain Farid dan Lisa, filem berkenaan turut dibintangi Awal Ashaari, Intan Ladyana, Ahmad Idham, David Teo, Ruminah Sidek, Datuk Jalaluddin Hassan dan Cat Farish

Dengan nada perlahan, Farid akui: "Ramai yang tak percaya bila saya kata, hati saya belum berpunya. Berkawan memanglah ramai tetapi untuk mencari kekasih yang serasi, biarlah takdir dan masa yang menentukan. Lagipun kini saya sedang sibuk dengan penggambaran filem demi filem, hingga terlupa soal peribadi.



"Bukan saya serik tetapi kalau mencari memang sukar mahu bertemu. Saya percaya kalau ada jodoh tentu tidak akan ke mana-mana, jadi tak perlulah fikirkan sangat soal jodoh. Lagipun saya mahu membina kerjaya terlebih dulu, impian saya nak mengejar kerusi pengarah suatu ketika nanti."

Lisa pula mahu bercinta dengan bidang lakonan yang diterokai. Bohonglah kalau dirinya tidak kecewa dengan perpisahan lalu, tetapi sesiapa pun pernah melalui perkara yang sama dalam hidup. Putus cinta memang menyakitkan tetapi hakikatnya, jodoh, ajal dan maut Tuhan yang menentukan.

Lisa berlakon sejak 11 tahun

Bukan mudah gadis yang diperkenalkan ke layar perak menerusi filem Goodbye Boys itu berkongsi rahsia peribadinya. Lisa lebih senang bercerita soal kerjaya lakonannya yang baru bermula biarpun dirinya sudah terdedah dengan dunia seni sejak berusia 11 tahun. Wajah comel Lisa kerap menghiasi beberapa iklan komersial TV seperti produk makanan Cadbury, Ayamas dan Double Decker.

"Sudah tiada jodoh, apa yang dapat diperkatakan lagi. Biarlah soal kerjaya lakonan saya menjadi buah mulut, bukan soal peribadi saya. Lagi pun saya tidak bersedia berkongsi soal peribadi dengan umum, cukuplah setakat orang tahu, saya sudah kembali solo.

"Perkara lalu biarlah berlalu, saya tak pernah meletakkan perkataan serik mahu bercinta lagi. Lagi pun saya masih muda lagi, usia baru mencecah 22 tahun, tentunya perjalanan hidup saya masih panjang. Jika ada yang sesuai, saya lebih suka berkawan dan mengenali hati budi dulu daripada terus menerima lamaran," katanya yang ketika dihubungi dalam perjalanan ke Wales bersama ibu bapa dan saudaranya untuk menghadiri majlis konvokesyennya.

Mereka masih malu-malu apabila diminta berposing romantis. Jelas Farid mahupun Lisa seperti kekok walaupun setahun dulu ketika penggambarannya, mereka digandingkan sebagai suami isteri dalam filem I'm Not Single. Promosi filem I'm Not Single menemukan semula Farid dan Lisa sekembalinya model iklan Johnson Pure Essentials itu ke tanah air.

Farid akui mudah serasi

Dengan nada bersahaja, Farid akui: "Segan nak berposing lebih-lebih, sudah lama tak berjumpa. Bagaimanapun, bila sudah kerap bertemu barulah hilang perasaan malu. Saya melihat Lisa seorang pelakon yang berbakat dan mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang lakonan.

"Dulu, ketika pertama kali dipertemukan, kami memang tidak mengenali antara satu sama lain, saya hanya pernah tengok Lisa di iklan televisyen tetapi kami bekerja secara profesional. Walaupun wataknya sebagai Maya, isteri saya dalam filem itu tetapi Lisa mampu melakonkan wataknya dengan baik.

"Tak susah nak cari keserasian dengan Lisa walaupun kami tak pernah rapat sebelum ini. Lisa mudah dibentuk dan boleh menerima pandangan. Tentulah susah bagi kami melakonkan watak suami isteri sedangkan kami tidak mampu memahami karakter masing-masing."

Akui Lisa, dia banyak berbincang dengan Farid untuk memastikan lakonan mereka sebagai suami isteri menjadi ketika di lokasi penggambaran. Dan Pierre pula memberi kebebasan kepada mereka untuk membentuk lakonan.

"Saya bersyukur mendapat reaksi yang baik dalam percubaan pertama saya menjayakan filem berbahasa Melayu. Saya berterima kasih kepada Pierre dan Farid yang banyak membantu bagi memastikan keberkesanan lakonan. Saya sedar sebagai bakat baru dalam industri filem, banyak kelemahan perlu diperbaiki. Saya sedia terima tunjuk ajar," katanya.

  • Profil Farid

    Nama: Farid Kamil Zahari

    Nama Komersial: Farid Kamil

    Usia: 27 tahun

    Tarikh Lahir: 5 Mei 1981

    Asal: Alor Star, Kedah

    Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

    Filem: Dayang, Chermin, Remp-It, Main-Main Cinta, Anak Mami Kembali, Lady Boss, Cinta Fotokopi, Potret Mistik, Tangkai Jering, Tujuh Perhentian, Hingga Hujung Nyawa, Kuliah Cinta, Cinta Kolestrol, Anak Halal, Apa Kata Hati, Di Kala Malam Bulan Mengambang, Evolusi KL Drift dan I�m Not Single

  • Profil Lisa

    Nama Penuh: Lisa Surihani Mohamed

    Nama Komersial: Lisa Surihani

    Tarikh Lahir: 23 Mac 1986

    Pendidikan: Sarjana Muda Undang-Undang, Kolej Universiti Help

    Komersial: Johnson & Johnson Pure Essentials, KFC, Ayam Goreng McDonald's, Cadbury, Ayamas, Double Decker, Hotlink, V-Soy, Rexona, Clearasil, Maxis

    Pengacaraan: X-Fresh (Astro), Down Memory Lane (RTM), Nestle Space Challenge (ntv7), Hello 2006 (RTM), Whoa (ntv7), Anugerah Angkasapuri 2005 (RTM) dan Expresi

    Drama/Telemovie: Ayah Kami (RTM); teater: www.puterigunungledang.com.my; video muzik Milikku (Zahid); 3R; Jeff's Place dan Mystery 6

    Filem: Goodbye Boys dan I'm Not Single
  • No comments:

    Post a Comment