SHAH ALAM: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) disaran untuk mengkaji keperluan mewujudkan kursus Diploma Pengurusan Masjid dalam usaha melahirkan individu yang mempunyai kecekapan mentadbir masjid dengan lebih profesional.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kursus itu antara lain akan menumpukan kepada aspek pengurusan hartanah masjid, urusan perakaunan dan pemasaran masjid.
"Kursus ini adalah modul yang boleh melahirkan mereka yang mampu mentadbir masjid dengan cekap dan berkesan bila tamat pengajian nanti," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Masjid Negeri Selangor 2009 di sini, hari ini.
"Jika kemasukan atau pengeluaran wang masjid direkodkan dengan lebih berdisiplin, pihak yang memberi derma atau yang menerima derma contohnya, akan merasa lebih selesa dan yakin dengan pihak masjid," katanya.
Abdul Khalid berkata, masjid di negeri itu juga akan dilengkapi dengan sistem Internet yang menghubungkannya terus dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi membolehkan maklumat berhubung perkembangan Agama Islam dapat disalurkan dengan cepat dan mudah.
Beliau berpuas hati dengan pemilihan ahli jawatankuasa masjid yang baru apabila majoriti daripada mereka memiliki kelayakan yang tinggi dan profesional dalam bidang masing-masing.
"Saya rasa tidak ada (membabitkan) politik dalam hal ini (pemilihan) sebab mereka mempunyai pengalaman yang mampu membantu mengimarahkan masjid," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Khalid menyarankan supaya ditubuhkan pasukan pemikir pengurusan masjid di luar daripada sistem Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang hubungan kemasyarakatan untuk melihat peranan yang boleh dimainkan institusi masjid bagi membentuk kesatuan serta perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di negeri itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peranan masjid seharusnya dapat merentasi sempadan kaum, agama dan budaya tanpa menafikan fungsi asasinya untuk memberi khidmat kepada masyarakat beragama Islam di kariah masing-masing.
"Dalam hal seumpama inilah, diperlukan kepakaran pasukan pemikir supaya institusi masjid tidak menyisihkan diri daripada golongan masyarakat manakala masyarakat pula tidak rasa tersisih daripada segala aktiviti yang dianjurkan oleh masjid," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment