Saturday, June 27, 2009

Demi ibu pertiwi



DARI (kiri): Diddy, Winnie dan Iqram.

Artis baru hargai, sanjung tinggi jasa pasukan keselamatan negara dan bersama meraikan Hari Pahlawan 2008

MEREKALAH pejuang, merekalah penyelamat. Mereka mempertahankan negara bersama darah dan nyawa. Mereka juga

melindungi negara daripada ancaman musuh luar. Kepahlawanan mereka membolehkan rakyat Malaysia hidup dengan aman dan selamat sehingga hari ini.

Walaupun negara mencapai kemerdekaan dengan cara aman, tanpa menumpahkan setitik darah pun, anggota keselamatan negara sudah pun berjuang dan menggadai nyawa sejak zaman penjajahan British lagi. Malah pahlawan Melayu terkenal dan terbilang pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka.

Seharusnya Hari Pahlawan yang disambut pada setiap 31 Julai sejak 1960-an dikenang rakyat Malaysia bagi menghargai pengorbanan anggota keselamatan yang terkorban. Hari Pahlawan yang juga dikenali sebagai Poppy Day menjadi tradisi bagi banyak negara untuk memperingati dan menghargai wira negara yang gugur.

Bagi golongan selebriti, mereka tidak ketinggalan untuk memperingati, menghargai dan menyanjungi Hari Pahlawan. Sempena Kempen Hari Pahlawan 2008 bersama slogan Jasa Baktimu Tetap Disanjung, B*Pop menampilkan tiga artis generasi baru iaitu pelakon muda, Iqram Dinzly serta penyanyi Diddy dan Winnie K mengenakan pakaian istiadat Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.

Terima kasih kepada Mejar Zahrull Hidayat dari Cawangan Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan dan Lt Dya Siti Salina Johari PSSTLDM dari Cawangan Perhubungan Awam, Markas Tentera Laut, Wisma Pertahanan yang menyediakan baju istiadat tentera darat, laut dan udara, selain memberi kerjasama penuh melayan kehendak B*Pop.

Memilih lokasi Tugu Peringatan Negara yang terletak berdekatan Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, Iqram segak menggayakan baju istiadat Tentera Udara, begitu juga Diddy dengan pakaian seragam Tentera Laut. Winnie K pula dipilih menggayakan baju istiadat Tentera Darat. Sama ada Iqram, Diddy mahupun Winnie, itulah kali pertama mereka berpeluang memperagakan baju istiadat tentera.

Iqram cucu bekas Menteri Besar

Dengan nada perlahan, Iqram akui: “Inilah pertama kali saya diberi peluang menggayakan baju istiadat Tentera Udara. Selama ini, saya kagum melihat anggota tentera udara dengan pakaian seragam mereka, kacak dan segak.

“Apabila mengenang jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara tak kiralah sama ada polis, tentera udara, darat mahupun laut yang terkorban, saya sebak. Sebagai generasi muda, seharusnya kita tidak lupa pada tarikh 31 Julai setiap tahun bagi memperingati wira negara yang gugur demi ibu pertiwi.

“Mereka berjuang dan berkorban nyawa demi mempertahankan maruah bangsa dan negara. Kita semua tahu ramai antaranya gugur meninggalkan anak dan isteri, manakala ada juga yang tercedera terus hidup dengan penderitaan dan masalah. Dan sudah menjadi tanggungjawab kita membantu mengumpul dana Tabung Kebajikan Hari Pahlawan bagi memberi bantuan kepada bekas tentera dan keluarga mereka yang memerlukan,” kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Iqram akui dia juga mahu meneruskan perjuangan datuknya suatu ketika nanti. Tidak hanya bergelar pelakon, Iqram bercita-cita mahu menjadi Yang Berhormat (YB) jika diberi ruang.

Mengimbas latar belakangnya, jiwa perjuangannya diwarisi daripada datuknya. Datuk sebelah bapanya iaitu bekas Menteri Besar Perak sekitar 60a-n, Datuk Seri Ahmad Said, manakala datuk sebelah ibunya pula ialah Tok Penghulu daerah Tengku Hussein, Ipoh.

“Saya bangga dengan kedua-dua datuk saya kerana mereka banyak berjasa kepada negeri Perak. Kini abang saya, Iqbal Dinzly, 28, pula meneruskan perjuangan mereka sebagai Ketua Pemuda Umno Cawangan Keledang Jaya, Ipoh. Saya berharap saya dan abang dapat melakukan sesuatu untuk terus menegakkan kedaulatan bangsa Melayu,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Papaya.

Diddy anak pesara polis

Bekas penuntut Akademi Fantasia 4, Diddy pula akui sentiasa ingat tanpa pengorbanan nyawa dan darah pahlawan, Malaysia tidak mungkin dapat membangun seperti hari ini. Jadi dalam menuju ke alaf baru, dirinya sedar dan insaf serta menghormati mereka yang berjasa dan berjuang.

“Memperingati Hari Pahlawan bukan sekadar mendeklamasi sajak, meletakkan jambangan bunga di tugu peringatan mahupun meniup begol, sebaliknya ia perlu dihayati dengan lebih mendalam seluruh rakyat terhadap pengorbanan pahlawan menjaga keamanan dan keselamatan negara.

“Keutamaan dan pendedahan harus ditumpukan kepada generasi muda, terutama pelajar sekolah supaya mereka menyedari dan memahami maksud yang tersirat di sebalik sambutan Hari Pahlawan,” katanya yang kini muncul dengan single kelima, Genggam. Diddy yang juga duta syarikat telekomunikasi Digi kini sedang mengikuti tour Digi Campus dan Digi Superstar.

Anak kepada pesara Polis, Sarjan (B) Muhid Sulaiman itu nyata mempunyai pengetahuan mengenai sejarah hari Pahlawan apabila memberitahu, sambutan Hari Pahlawan mula diadakan seluruh dunia selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.

Winnie berjuang melalui seni suara

Winnie pula terharu apabila diberi peluang menggayakan baju istiadat Tentera Darat. Sungguhpun berbangsa Cina, Winnie turut merasai perjuangan dan parit getir perajurit yang gugur di medan perang.

“Saya anak Malaysia, sudah tentu saya turut merasai menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara. Tak kira bangsa Melayu, Cina mahupun India, mereka berjuang untuk negara. Saya kagum dengan semangat perjuangan mereka. Dan seharusnya semangat perjuangan dipupuk pada generasi baru seperti kami.

“Dari dulu, saya suka melihat pakaian seragam anggota keselamatan negara dan saya pernah bercita-cita nak jadi tentera darat kerana terpikat dengan kesegakan mereka. Bagaimanapun, impian tak kesampaian dan saya juga berjuang seperti mereka tetapi dalam dunia persada seni suara.

“Bagi saya, jika semangat jati diri, patriotisme dan cintakan negara dapat dipupuk kepada seluruh lapisan masyarakat, ia dapat

memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara akan lebih terjamin,” katanya.

No comments:

Post a Comment