![]() DARI kiri Farawahida, Zul Huzaimy dan Raja Azura. |
Semangat perjuangan orang dulu tetap menebal dalam diri mereka. Tidak sanggup melihat tanah air dijajah oleh bangsa asing
BULAN Kemerdekaan penuh pengertian buat tiga selebriti popular iaitu Zul Huzaimy, Raza Azura dan Farawahida. Walaupun tidak dilahirkan sebelum zaman negara ini merdeka dan melihat kesengsaraan orang dulu memperjuangkan Tanah Melayu daripada penjajahan bangsa asing, mereka akui tetap merasainya.
Malah, semangat perjuangan tetap menebal dalam diri mereka. Tidak sesekali sanggup melihat Malaysia dijajah oleh bangsa asing lagi seperti ketika zaman nenek moyang mereka dulu. Apa yang pasti, ketulusan, keikhlasan dan kejujuran orang dulu memperjuangkan negara tidak sama dengan generasi hari ini. Umpamanya lain dulu lain sekarang.
Raja Azura atau lebih mesra dengan panggilan Kak Engku mengakui dia pasti teringat keperitan perjuangan nenek moyangnya apabila tibanya bulan kemerdekaan.
![]() |
Zul Huzaimy teringatkan pengorbanan arwah datuk. |
"Saya berbangga dengan perjuangan nenek moyang yang mempertahankan Tanah Melayu daripada dijajah. Saya sering mendengar cerita kehebatan dan kesukaran yang dilalui mereka daripada ibu bapa dan keluarga. Keturunan saya daripada pahlawan Melayu lima bersaudara iaitu Opu Dahing Parani, Opu Dahing Menambun, Opu Dahing Merewah, Opu Dahing Cellak dan Opu Dahing Kemasi.
"Dan sebagai anak cucu, saya bersama keluarga pernah menziarah makam mereka. Makam Opu Dahing Cellak dan Opu Dahing Merewah terletak di Pulau Penyengat tahun lalu. Walaupun tidak dilahirkan sebelum merdeka, saya berbangga kerana sering terbabit dalam teater sempena bulan kemerdekaan ketika masih bujang dulu. Saya membawa watak orang dulu-dulu yang memperjuangkan Tanah Melayu daripada penjajahan Ingggeris, Belanda dan Jepun.
"Saya dapat berasakan perit jerih penduduk zaman silam yang mahu memerdekakan Tanah Melayu. Mereka sanggup menyerahkan harta dan barang kemas bagi membantu Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menuntut kemerdekaan di luar negara," katanya.
Akuinya, sebagai generasi baru, kita seharusnya bersyukur segala limpahan kemewahan dan kenikmatan yang diperoleh negara atas jasa pahlawan dulu.
"Kita sudah terlalu banyak menghirup udara kemewahan, sesekali tak salah berbalik pada sejarah lama. Ia penting supaya anak Melayu dapat menghargai warisan yang ditinggalkan. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, jadi berbanggalah menjadi rakyat Malaysia dan cintailah negara kita, jangan bergaduh sesama bangsa kerana kita nanti yang rugi. Usah biarkan sejarah lama berulang� katanya yang sanggup menolak tawaran mengacarakan majlis kemuncak pada malam kemerdekaan demi mahu membawa tiga cahaya matanya menyaksikan acara percikan bunga api di Shah Alam, Selangor.
Zul sedih datuk dilarikan tentera Jepun
![]() |
Farawahida dan Raja Azura hargai perjuangan orang terdahulu. |
BERLAINAN pula Zul Huzaimy yang mempunyai kisah sedih apabila kehilangan datuknya, Yusie yang dilarikan tentera Jepun ke selatan Thailand pada lewat tahun 1940-an. Sehingga neneknya, Normimah menghembuskan nafas terakhir pada 1997 dia tidak bertemu dengan suaminya itu.
Zul akui datuknya yang tidak diketahui sama ada masih hidup mahupun meninggal dunia pernah bertugas dengan kolonial Inggeris sebagai 'banker' atau pengagih keperluan pada 1943. Bagaimanapun, ketika Jepun menjajah, datuknya itu terpaksa berkhidmat dengan Jepun sehingga dilarikan ke selatan Thailand pada suatu ketika.
"Arwah nenek yang membesarkan bapa saya, Marzuki Yusie bersama dua anak angkat dengan hanya menjual nasi lemak sekitar kampung di Grik. Sehingga menghembuskan nafas terakhir, arwah nenek tidak bertemu dengan datuk. Kami memang tak tahu di mana nak mencari datuk namun selepas kematian arwah nenek, ada saudara mara yang pernah bertemu dengan datuk di Pattani.
"Di situ saya melihat bagaimana pengorbanan arwah nenek memerdekakan hidupnya daripada kesengsaraan. Dari muda hinggalah menghembuskan nafas terakhir, dia tetap mahu menjual nasi lemak," katanya.
Zul berkata, generasi baru seharusnya tidak mengetepikan fakta sejarah lama, sekurang-kurangnya ambil tahu untuk pengetahuan diri. Dan hobinya membaca membuatkannya seronok membaca kisah-kisah sejarah yang berlaku pada nenek moyang suatu ketika dulu.
"Setiap kali membaca ada saja fakta sejarah mengenai kemerdekaan yang diketahui. Saya mengetahui kisah perjuangan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman dan bagaimana kesusahannya mahu memerdekakan tanah air ketika membaca sebuah buku sejarah, tahun lalu. Jika tidak mengetahui sejarah silam, saya percaya tentu tak mampu menghayati erti kemerdekaan. Bila tahu apa yang berlaku, tentu kita tahu bagaimana mahu menghargainya.
"Sekarang kita merdeka daripada penjajah tetapi ramai yang masih dijajah dengan pemikiran dan ideologi mereka. Tak kiralah kita ikut cara barat atau timur dan tak tahu sejarah pun tak apa tetapi satu saja yang kita perlu jaga, hormatilah bendera Malaysia. Saya lihat ada yang sanggup memijak, membuangnya ke dalam tong sampah dan macam-macam lagi yang menyakitkan mata dan hati.
"Cuba lihat selepas malam menyambut merdeka, bukan sampah yang dikutip pihak berkuasa sebaliknya lambakan bendera Malaysia. Bendera itu umpama maruah Malaysia," katanya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Hati Seorang Lelaki arahan Ahmad Idham untuk siaran raya.
Farawahida lukis bendera rai merdeka
KEINGINAN menyambut Hari Kemerdekaan bersama teman-teman memaksa Farawahida melukis sendiri bendera Malaysia menggunakan warna air untuk mengibarkan ketika usianya lapan tahun. Maklumlah, kesempitan hidup menyebabkan Farawahida tidak mahu menyusahkan ibu bapa memenuhi permintaannya.
"Memang sedih, saya teringin nak kibarkan bendera Malaysia bersama teman-teman sekampung. Mereka seronok dengan bendera masing-masing. Jadi saya rasa tak salah kalau saya melukis bendera menggunakan warna air, jadi saya juga boleh berseronok dengan mereka. Sekurang-kurangnya rumah saya pun ada bendera walaupun hanya bendera yang dilukis sendiri.
"Malangnya bendera yang saya letakkan di pagar rumah dibasahi hujan, jadi kertasnya koyak dan warnanya hilang," akuinya sambil merenung jauh. Gadis kacukan Melayu, Pakistan dan Arab itu akui walaupun dari keturunan campuran, tetapi jiwa Melayu tetap menebal dalam dirinya dan keluarga.
Farawahida berkata, dia bertuah dilahirkan sebagai anak Malaysia. Walaupun negara diuji dengan keadaan politik yang membimbangkan tetapi rakyat masih lagi dalam keadaan aman dan selamat.
"Bayangkan jika negara kita seperti negara jiran lain. Bukan saja kedudukan ekonomi tak stabil, malah keadaan keselamatan juga terancam. Banyak jiwa terkorban gara-gara politik yang huru hara. Jadi saya cukup bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini. Apa yang kita miliki hari ini adalah hasil perjuangan orang dulu. Jadi peliharalah bangsa dan negara supaya peristiwa dulu tidak berulang kembali," katanya yang kini sibuk dengan rakaman album ketiganya. Sehingga kini, single pertamanya, Hilangkan Segalanya sudah diputarkan di corong radio.
INFO: Raja Azura
Nama: Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin
Usia: 36 Tahun
Tarikh Lahir: 18 Ogos 1972
Asal: Pelabuhan Klang, Selangor
Suami: Adzmin Tan Sri Osman
Anak: Megat Muhammad Raziq, 6, Megat Luqman Haqim, 5, Puteri Mia Maizura, 2
Kerjaya: Pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio
Album: Dan Bunga Berguguran (1996) & Raja Azura (2008)
INFO: Zul Huzaimy
Nama: Zul Huzaimy Marzuki
Usia: 30 Tahun
Asal: Grik, Perak
Tarikh Lahir: 4 Disember 1978
Pencapaian: Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21
Filem: Embun, KL Menjerit 1, Remp-It, Anak Halal, Impak Maksima, Syaitan & Cinta Yang Satu
Drama: Mat Nor Khusairi And The Velvet Boys, Mengejar Pelangi, Miss Penang, Datin Diaries, Mentari Jingga, Hitamnya Hati & Hati Seorang Lelaki
Pengacara: Riak Riak Remaja (RTM)
INFO: Farawahida
Nama: Farawahida Razali
Usia: 23 Tahun
Tarikh Lahir: 19 Mac 1985
Asal: Taiping, Perak.
Pencapaian: Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007
Album: Farawahida, Tanpamu, Semuanya Ada Di Sini
Solekan & Dandanan:
Rose Suci (012-902 1217
) - Raja Azura & Zul Huzaimy
Ruhaya (016-222 5126
) - Farawahida
Busana: Salikin Sidek (019- 212 1936)
(Fashion & Art Studio, Ampang Park Shopping Centre)
(Songket Salikin Sidek, SACC Mall, Shah Alam)
No comments:
Post a Comment