KEBETULAN, hari ini jatuh hari kelima dalam bulan yang sangat dimuliakan Islam. Rejab bulan ketujuh dalam kalendar Islam membawa maksud ta’azim (kebesaran, keagungan dan kemuliaan) di mana Allah SWT akan melimpahkan rahmat dan kemurahan-Nya. Untuk itu amalan yang terbaik di dalam bulan Rejab ialah berpuasa dan memperbanyakkan zikir.
Keberkatan Ma’thurat, album yang memuatkan himpunan ayat suci Al-Quran, zikir, selawat dan doa hadir tepat pada ketika dan suasananya. Zikir Ma’thurat adalah salah satu himpunan zikir yang sangat elok diamalkan oleh umat Islam sebagai satu amalan harian. Ia juga adalah ayat suci al-Quran, zikir, selawat dan doa yang biasa diamalkan Nabi Muhammad SAW.
Ma’thurat disusun Imam Asy-Syahid Hassan al-Banna beberapa dekad yang lalu dan zikir ini amat digalakkan diamalkan umat Islam setiap selepas Subuh dan Asar secara bersendirian ataupun beramai-ramai.
Album yang diterbitkan Inteam Records Sdn Bhd antara lain membantu memudahkan hafalan zikir Ma’thurat. Ia diterbitkan dengan kerjasama Rabbani Production. Album istimewa ini menampilkan Ustaz Asri Ibrahim yang juga vokalis kumpulan Rabbani sebagai penyampai bait zikir berkenaan.
Bacaan Ma’thurat dimulai dengan surah Al-Fatihah diikuti petikan ayat Al-Quran, disambung doa-doa tertentu yang diajarkan Rasulullah SAW dan diakhiri selawat ke atas Baginda. Album berjudul Keberkatan Ma’thurat menerusi edaran Warner Music ini sudah mula berada di pasaran sejak 19 Jun lalu. Album yang dijual dalam bentuk CD ini dijual dengan harga RM19.90.
Sebagai bonus, setiap pembelian akan disertakan senaskhah buku Ma’thurat secara percuma yang turut disertakan bersama CD berkenaan.
“Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan jadi tenang.” (surat ar-Ra’d: 28) Demikian janji Allah, hanya dengan mengingatinya jiwa yang resah dan gundah akan kembali tenang dan tenteram. Oleh itu banyakkan berzikir.
No comments:
Post a Comment