Sunday, June 28, 2009

'Saya amat cintai Fahrin'sharifah norazin




SELAIN dikenali kerana memiliki suara yang unik - 'besar' dan kasar, Scha sering dikaitkan meniti kemasyhuran serta popularitinya di bidang seni menerusi cerita peribadi apabila dia menjalin hubungan mesra dengan Fahrin Ahmad selepas pengacara dan aktor kacak itu melalui saat duka, putus cinta dengan personaliti terkenal, Linda Onn suatu ketika dulu.

Scha dituduh menumpang populariti Fahrin untuk diterima dalam dunia hiburan.

Scha, 26, yang juga anak saudara Sharifah Sheril Aida dan Syed Sobri ini juga dikatakan tidak boleh berdiri sendiri membina namanya jika tidak kerana kontroversinya bersama Fahrin. Justeru, Scha pernah melahirkan rasa kecewanya apabila media massa dan peminat lebih memberi perhatian kepada kisah ‘teman tapi mesra’ bersama Fahrin, berbanding soal kerjaya lakonannya yang hanya dipandang sebelah mata!

Namun, semua itu cerita kira-kira enam bulan lalu, kini tanpa Fahrin, Scha mampu membina kerjayanya yang semakin melonjak apabila dia menjadi perhatian ramai produser dan pengarah yang ingin menyuntingnya membintangi filem atau drama produksi mereka. Jika dulu namanya perlu disebut sebagai Scha Fahrin, kini cukup sekadar Scha atau sekurang-kurangnya Scha Awan Dania, peminat sudah mula mengenali siapa gadis jelita ini.



Lantaran permintaan tinggi di lokasi, sudah ada ‘suara dari produksi’ yang berbisik, Scha sekarang semakin sukar dihubungi, panggilan telefon tidak berjawab, malah SMS pun kadang-kadang tiada balasan, sekali gus melabelnya mula berlagak diva!

“Saya akui, apabila tiba waktu puncak di lokasi penggambaran, saya tidak berpeluang menjawab panggilan telefon atau membalas SMS. Rata-rata yang cuba menghubungi saya adalah pihak produksi yang inginkan jawapan segera sama ada saya berminat atau tidak dengan tawaran mereka. Pada masa sama, saya perlu memikirkan komitmen atau tawaran yang datang lebih awal. Saya perlu tunggu kata putus dari produksi berkenaan.

“Apabila menerima sebarang tawaran lakonan atau pengacaraan, saya nak elakkan jadual penggambaran bertembung, saya paling tak suka berdepan masalah jadual. Saya tak akan melakukan dua kerja dalam satu masa. Namun, apabila saya sudah menandatangani kontrak, saya akan memberikan sepenuh komitmen. Janganlah melabel saya mula berlagak diva gara-gara lambat memberikan jawapan untuk komitmen itu,” kata Scha.

Agak mengejutkan apabila tiba-tiba Scha memberitahu, dia tidak merancang untuk kekal lama dalam dunia hiburan, walaupun ketika ini namanya sedang bergerak laju menuju puncak. Katanya lagi, selepas berlaku suatu insiden kepada seorang teman baiknya, dia baru sedar, dunia artis penuh cabaran, malah pembalasan yang diterima apabila berbuat perkara mungkar, sangat drastik.

“Secara jujur, saya tak akan kekal lama dalam industri ini. Saya akan berlakon seadanya saja, maksudnya tidak mahu terkejar-kejar peluang depan mata sehingga lupa tanggungjawab kepada keluarga dan orang tersayang. Seperkara lagi, apabila saya ditakdirkan berkahwin dalam masa terdekat, aktiviti seni pasti bergerak perlahan, namun sekiranya tak ada apa-apa (kahwin), saya buat kerja macam biasa,” kata Scha lagi.

Serius dengan Fahrin

TIBA-TIBA Scha mengalih tajuk perbualan kepada soal kahwin, terus saja fokus diberikan kepada perhubungannya bersama Fahrin. Tanpa berselindung, Scha mengakui dia mula menjalin hubungan serius dengan Fahrin kira-kira lapan atau sembilan bulan lalu dan kini mereka masih meneruskan ‘fasa suai kenal’, sekali gus mengakui, buah hatinya itu memiliki kualiti seorang suami yang bagus, selain mempunyai ciri-ciri kepimpinan.

Pun begitu, sedang hangat pasangan berkenaan ‘terlanjur cinta’, terdengar desas-desus perhubungan mereka sebenarnya sedang dilanda masalah. Fahrin dikatakan gagal ‘mengawal’ Scha apabila perhubungan mereka diperkotak-katikkan sukar menuju ke penghujungnya atau lebih tepat lagi impian membina gerbang perkahwinan umpama mencari cahaya di hujung terowong.

“Saya dan Fahrin lahir daripada dua latar masa yang berbeza. Justeru, antara kami wujud perbezaan dalam banyak perkara, cari berfikir pun tak sama. Saya akui, mungkin dulu hubungan kami ada sedikit masalah, misalnya perbezaan idea dan mengawal situasi. Selain itu, saya juga tak boleh melakukan perubahan secara drastik, memerlukan masa dan keikhlasan. Tak boleh disebabkan orang lain, saya berubah, yang penting diri sendiri.

Tak suka dikongkong

"JUJURNYA, saya tak suka dikongkong atau dipaksa melakukan sesuatu kerja itu. Bagi saya, setiap apa yang kita lakukan, mesti ikhlas. Kami sentiasa berusaha membaik pulih perhubungan apabila berasakan ada sesuatu yang tak kena. Alhamdulillah, semakin hari perhubungan kami terus matang. Namun, cerita lama kadang kala menghantui perhubungan kami, itu yang cuba kami atasi.

“Bagi saya, Fahrin seorang yang begitu penyabar kerana dia boleh terima diri saya sekalipun memerlukan masa. Kalau dia tak sabar, dah lama dia tinggalkan saya. Moral cerita ini, memang hubungan kami pernah berdepan masalah dan kami sentiasa mencari penyelesaian. Sebenarnya setiap kali berdepan masalah, masalah itulah yang merapatkan lagi perhubungan kami!,” kata Scha jujur.

Pernah suatu ketika timbul desas-desus, kononnya Fahrin akan bertunang dengan Scha awal tahun ini, tapi perancangan itu tidak menjadi kenyataan. Fahrin sekadar mengakui hubungannya dengan Scha memang serius dan tidak pernah berniat mempermainkan perasaannya. Perhubungan mereka ada tujuan. Justeru, sekiranya Fahrin menyatakan hasratnya untuk bertunang, adakah kali ini Scha sudah bersedia?

“Kita hanya mampu merancang, Tuhan menentukannya. Saya hanya berserah pada jodoh. Sekiranya benar jodoh saya bersama Fahrin, saya reda. Tapi, jika ditakdirkan saya bertemu jodoh dengan orang lain, saya pasrah dengan ketentuan itu. Saya dan Fahrin sentiasa bersedia berdepan kenyataan hidup. Namun, jika ditanya tahap hubungan kami ketika ini, we are really in love...” kata Scha akhirnya berterus terang.

INFO:

  • NAMA SEBENAR: Sharifah Norazean Syed Mahadzir
  • TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983
  • ASAL: Sungai Petani, Kedah
  • DARAH CAMPURAN: Ayah (Arab) dan ibu (Cina)
  • KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
  • PENDIDIKAN: Diploma Teknologi Maklumat dari Kolej Pusat Teknologi dan Pendidikan Lanjutan (PTPL), Shah Alam
  • PENCAPAIAN: Dewi Remaja 2006/2007
  • FILEM: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Dimensi Cinta, Libas dan Adik Manja Returns
  • DRAMA: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu dan Awan Dania 2
  • 10. PENGACARAAN: Sehati Sejiwa dan Astro On Demand
  • 11. KOMERSIAL: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, elcom dan My EG

  • 12. DUTA: Bio Essence

No comments:

Post a Comment