![]() |
Asakan kontroversi yang menghimpit perjalanan karier seni tidak menjejaskan peluang Rita Rudaini untuk dilantik sebagai ikon syarikat telekomunikasi gergasi, Celcom (Malaysia) Berhad
APABILA menyebut nama aktres sensasi Rita Rudaini, gosip panas dan kontroversi seakan sebati dengan dirinya. Namun, semua dugaan itu berjaya ditempuh dengan tabah. Jarang sekali kita mendengar dia melatah, mungkin itu antara faktor dirinya masih diterima peminat dan menjadi pelaris stesen TV bersama drama lakonannya.
Paling meninggalkan kesan ialah kontroversi Rita bersama Lis Dawati yang menyaksikan aksi pergaduhan mereka di dalam kolam renang di sebuah hotel di Pulau Pinang, 15 Ogos 2006 ketika menjayakan penggambaran drama Kau Yang Ku Sayang, arahan Rashid Sibir. Rita juga diheret ke muka pengadilan apabila menerima surat saman daripada Orbit Mediasari Sdn Bhd membabitkan tuntutan sebanyak RM85,000, baru-baru ini.
“Ini adalah pengalaman pertama saya berdepan kes mahkamah. Satu dugaan yang mematangkan diri. Kini, saya lebih berhati-hati apabila memilih kawan. Apa yang saya harapkan, kebenaran akan terbukti suatu hari nanti, sekali gus membersihkan nama saya dari terus dipalit cerita negatif,” kata Rita tenang.
![]() |
Terbaru, gosip panas yang singgah ke telinga penulis mendakwa Rita mempunyai dua anak! Kononnya Rita pernah mengandung dan kini dia mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun, manakala yang perempuan, enam tahun. Khabarnya kedua-dua anak itu berada di Perlis dan dipelihara ibu saudara Rita. Namun, agak mengecewakan apabila desas-desus menyebut Rita tidak mahu mengaku kewujudan kanak-kanak itu.
Ketika diajukan persoalan ini, ternyata Rita tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan terkejutnya. Justeru, sejauh mana kesahihan khabar angin terbaru ini?
“Demi Allah, sepanjang tempoh perkahwinan bersama bekas suami, saya tak pernah mengandung! Sehinggalah mahligai yang dibina dilanda badai, kami tidak pernah dikurniakan anak. Buat apa saya bercakap bohong, lebih-lebih lagi pada Ramadan ini. Namun, sekiranya saya berdolak-dalik dan tak mengaku ada dua anak, Tuhan pasti melaknati kehidupan saya, rezeki yang diperoleh juga tak berkat!,” kata Rita berterus-terang.
Pun begitu, dalam setandan pisang, tidak semuanya busuk. Dalam kontroversi dan gosip panas, karier Rita terus mekar sehingga mendapat perhatian syarikat telekomunikasi gergasi, Celcom (Malaysia) Berhad apabila baru-baru ini dia dilantik sebagai ikon Celcom! Tiga lagi ikon Celcom sempena kempen prabayar Celcom blue yang baru saja diperkenalkan ialah Maya Karin, Fahrin Ahmad dan Aaron Aziz.
“Selepas 10 tahun saya bergelar anak seni, ini baru pertama kali saya diberi peluang bergelar ikon daripada sebuah syarikat telekomunikasi terulung seperti Celcom. Dalam meniti usia 32 tahun dan pernah gagal dalam alam rumah tangga, ternyata Celcom membelakangkan faktor berkenaan.
“Saya bersyukur kerana masih mendapat tempat di hati organisasi korporat sehebat Celcom, sekali gus berpeluang pula berganding bahu dengan nama besar sehebat Maya Karin, Fahrin Ahmad dan Aaron Aziz. Ini sebagai bukti, perjalanan seni saya terus dihargai dan mendapat tempat di hati peminat. Sekurang-kurangnya Celcom selama ini memerhati hasil kerja saya,” kata Rita yang terikat sebagai ikon Celcom selama setahun.
![]() |
Empat ikon Celcom - (Dari kiri) Fahrin, Rita, Maya dan Aaron. |
Diri Rita juga tidak pernah sunyi dengan kisah cinta. Episod cinta Rita bersama bintang bola sepak remaja, Aidil Zafuan Abdul Razak, 21, masih lagi bertahan sekalipun ada khabar angin mengatakan hubungan mereka mulai retak. Namun, perbezaan usia 11 tahun antara Rita dan Aidil dikatakan antara faktor percintaan mereka dipandang serong.
“Semua insan yang sedang bercinta mengimpikan sebuah ikatan yang lebih kukuh dalam perhubungan, termasuklah saya. Saya mempunyai ramai kenalan, namun tak dinafikan, Aidil (Zafuan) adalah insan yang paling dekat dan rapat di hati saya ketika ini. Jadi, terpulanglah kepada masyarakat di luar sana menilai erti persahabatan kami sebenarnya.
“Sekalipun terdapat jurang umur yang ketara antara kami, tak salah kan kami berkawan rapat. Apa yang penting dalam sesebuah perhubungan itu ialah keikhlasan diri pasangan masing-masing. Bagi saya, umur sekadar nombor,” kata Rita tanpa berselindung.
Difahamkan episod cinta dua sejoli itu mendapat bantahan hebat daripada keluarga Aidil, apa komen Rita?
“Bagi saya, dalam setiap perhubungan, restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak sangat penting. Ajal dan maut, jodoh pertemuan ketentuan Tuhan, bukan kita hamba-Nya sebagai penentu. Justeru, saya serahkan soal jodoh di tangan Tuhan. Jika ditakdirkan Aidil adalah insan yang bakal bergelar suami, saya terima seadanya, namun jika sebaliknya, saya reda,” akui Rita lagi.
Mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, Rita akan pulang ke Perlis pada 29 September hingga 5 Oktober untuk bersama keluarga meraikan Syawal. Sempat juga bertanya kepada Rita, adakah Aidil akan bertandang ke rumah keluarganya pada hari raya nanti?
“Pintu rumah saya sentiasa terbuka kepada semua tetamu. Kalau Aidil nak datang beraya, apa salahnya kerana dia pun dah kenal rapat dengan anggota keluarga saya sebelum ini, cuma belum berpeluang bersua muka. Semoga Syawal kali ini lebih bermakna dan membawa keberkatan,” kata Rita yang masih ligat dengan aktiviti lakonan sepanjang Ramadan ini.
Info Rita
NAMA PENUH: Rita Rudaini Mokhtar
TARIKH LAHIR: 11 April 1976
ASAL: Utan Aji, Kangar, Perlis
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
PERKAHWINAN: Mendirikan rumah tangga dengan pengulas sukan TV3 pada 1999, namun bercerai pada 2001
DRAMA: Rahsia Hati (Astro) dan Rozana (TV3)
FILEM: Mendam Berahi, Mami Jarum, Mami Jarum Junior, Mistik, Makar dan Cinta
PENCAPAIAN: Ikon Celcom bersama Maya Karin, Fahrin Ahmad dan Aaron Aziz


























No comments:
Post a Comment