Sunday, June 28, 2009

Faezah & Diana tak kejar glamor




PEROSAK filem! Itulah gelaran yang pernah diberikan pihak media kepada model jelita, Faezah Elai, 27, kerana beraksi kaku dalam filem sulung lakonannya, Otai, karya dan arahan Profesor Madya Abdul Razak Mohideen, dua tahun lalu.

Biarpun sudah lama berlalu, peristiwa itu masih terpahat kukuh dalam memorinya kerana ia bukan saja memalukan dirinya, malah turut menjejaskan emosi bekas pramugari ini hingga trauma berlakon hampir enam bulan lamanya.

"Baru saja berjinak-jinak, saya kena `hentam' teruk.

Lama juga saya fobia dan enggan terima apa-apa tawaran (berlakon), takut kalau kena `hentam' lagi. Belum pernah saya melalui pengalaman sebegini... dikritik dengan begitu dahsyat.



"Namun, saya percaya di sebalik sesuatu kerumitan itu, pasti ada hikmah tersembunyi.

Malah, saya menganggapnya sebagai satu pengajaran berguna ke arah memperbaiki kelemahan diri," katanya pada sesi fotografi bersama B*Pop di Balai Berita, baru-baru ini.

Tampil dengan solekan eksotik hasil kreativiti penata rias kegemarannya, Nazreen Idrus, Faezah yang berasal dari Gelugor, Pulau Pinang, berkata kritikan itu turut memberinya kekuatan dalaman untuk menghadapi cabaran mendatang sebagai anak wayang.

"Bila dilabelkan perosak filem, mana mahu letak muka pun saya tidak tahu. Mahu keluar rumah pun rasa segan.

Maklumlah, cerita itu keluar dalam surat khabar, majalah dan TV. Sudah tentu ada yang terbaca atau menontonnya.

Tipu kalau saya kata saya tidak kecewa dengan cerita itu!

"Ada juga rakan yang simpati dan memberikan sokongan moral. Ada yang kata kritikan itu baru sedikit, malah ada banyak lagi cabaran mendatang perlu dihadapi.

Maklumlah, bidang seni penuh dengan pancaroba dan kita perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Disebabkan peristiwa itu juga, Faezah secara jujur mengakui beliau terpaksa mendalami selok-belok dunia lakonan, termasuk cara menghidupkan watak dilakonkan dengan bantuan beberapa rakannya, termasuk orang lama dalam bidang ini.

"Niat saya cuma mahu memperbaiki kemahiran lakonan, dengan harapan mampu menjadi seorang pelakon berkarektor. Saya guna tempoh enam bulan itu sebaik-baiknya untuk belajar berlakon. Saya berazam mahu mengubah persepsi masyarakat, terutama penonton terhadap lakonan saya.

"Selepas enam bulan saya kembali menerima tawaran berlakon bermula dengan drama dan telefilem saja.

Itulah cara terbaik untuk me­ningkatkan kemahiran lakonan. Bukannya merugikan pun kalau kita belajar dari kesilapan, malah saya menganggapnya sebagai pedoman," katanya.

Bermula dengan drama bersiri, Cinta & Keadilan yang disiarkan Astro Ria, pelbagai tawaran drama dan telefilem diterima Faezah, sekali gus menjadikannya antara pendatang baru rebutan produser ketika ini.

"Alhamdulillah, saya rasa semakin selesa dan boleh berlakon dengan baik. Tawaran pun banyak tetapi tidak semua saya terima. Yang penting, saya mahu ada fokus dan biarlah sesuatu kerja dibuat hingga selesai," katanya sambil menganggap kesilapan lalu itu berpunca daripada sikapnya yang terburu-buru.

Kini, selepas menimba banyak pengalaman berlakon drama dan telefilem yang dianggapnya sebagai bengkel lakonan, beliau semakin yakin dan mahu membuktikan kemampuannya di layar perak, malah sudi menimbangkan sebarang tawaran filem selepas ini.

"Saya berharap diberikan peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan lalu.

Diakui, penampilan saya dalam filem itu Otai memang teruk kerana belum cukup `ilmu di dada' ketika itu.

Namun, saya kini sudah bersedia untuk muncul kembali di pentas wayang untuk membina reputasi saya," katanya.

Berdarah kacukan Melayu, Punjabi dan Siam, Faezah sememangnya bertuah kerana dikurniakan paras rupa menarik yang mampu menawan mana-mana lelaki, namun beliau mengakui masih solo dan tidak mempunyai teman istimewa.

"Bukannya tidak ada yang mendekati cuma saya yang tidak berminat. Berkawan biasa memang boleh tetapi tidak lebih dari itu. Kawan lelaki memang ramai sebab saya selesa berkawan dengan golongan itu tetapi saya layan semuanya sama, tiada yang istimewa.

"Saya tidak terfikir pun soal teman istimewa, apa lagi soal perkahwinan. Saya masih muda untuk memikirkannya.

Perjalanan saya pun masih jauh dan biarlah saya bertumpu kepada karier seni saya dulu," katanya yang menolak golongan kenamaan (VIP) untuk dijadikan teman istimewa.

Rakan Faezah, Diana Rusdi, 24, pula mengakui ada ketikanya beliau keliru apabila menerima tawaran yang mencurah-curah, malah sentiasa mengambil sikap berhati-hati menerima tawaran itu kerana bimbang lakonan ditampilkan tidak berkualiti.

Beliau yang pernah bermastautin di The Hague, Belanda, berkata seseorang pelakon baru tidak seharusnya terlalu ghairah menerima tawaran berlakon tanpa memikirkan sama ada mampu atau tidak melaksanakan tugasan itu.

"Biarlah sedikit tawaran diterima asalkan watak lakonan saya diingati penonton.

Bagi saya, kualiti lakonan lebih penting. Biasanya saya akan menghabiskan sesuatu kerja dulu sebelum menerima tawaran lain. Bukannya apa saya adalah pendatang baru dan mutu kerja lakonan saya harus dititikberatkan.

"Semakin hari semakin ramai pendatang baru terutama dalam bidang lakonan ini muncul dan sekiranya saya tidak menjaga mutu lakonan sudah tentu saya akan diketepikan.

Walaupun ramai pelakon baru, saya tidak menganggapnya satu persaingan kerana percaya rezeki datangnya dari Allah," katanya.

Katanya, bidang lakonan mula diminatinya sejak kecil, malah pernah beraksi di pentas teater pada zaman kanak-kanaknya ketika mengikuti bapanya bertugas di luar negara sebagai Pesuruhjaya Perdagangan di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

"Ia sekadar minat saja tetapi tidaklah sampai mahu menjadikannya sebagai sumber pendapatan. Setiap manusia mempunyai perancangan masing-masing dalam me­nempuh arus hidup ini untuk berjaya. Saya masih mencintai bidang lakonan ini tetapi dalam masa yang sama turut mempunyai perancangan lain.

"Saya juga tidak menganggap bidang lakonan yang saya ceburi ini sekadar untuk suka-suka kerana apa gunanya setiap hari saya bangun seawal lima pagi semata-mata untuk melakukan kerja yang suka-suka.

Setiap kerja yang saya lakukan harus ada tumpuan dan menyelesaikannya de­ngan kepuasan," katanya.

Berhasrat membuka agensi perhubungan awamnya sendiri selepas menamatkan pengajiannya di sebuah kolej swasta, Diana menganggap dirinya bertuah kerana dapat merantau ke luar negara pada usia yang terlalu muda.

"Kebanyakan masa kanak-kanak saya dihabiskan di Eropah. Kebetulan ayah bertugas di sana. Memang seronok sangat dapat melihat negara orang dan kehidupan mereka yang sama sekali berbeza dengan budaya kita.

"Alangkah baiknya kalau saat-saat itu dapat diulangi semula. Ramai juga kawan saya di sana tetapi ada yang sudah terputus hubungan," katanya yang turut menyimpan impian untuk memiliki Land Rover Freelander 2 (Model 2009) jika berkemampuan.











Sinposis Hartamas:

MENERUSI drama Hartamas, Diana memegang watak sebagai Juita Johari dan anak tunggal kepada Johari Johar lakonan Rushidi Ishak. Juita yang berpenampilan menarik adalah murid cemerlang di sekolah. Wataknya yang manja dan mementingkan kecantikan sangat rapat dengan ayahnya sehingga segala masalah akan dikongsi bersama.

Ayahnya adalah seorang akauntan yang lurus dan mempunyai perwatakan yang membosankan dan kekok. Namun di atas kebijaksanaan itu, Amelia Ramli lakonan Ida Nerina yang juga seorang janda anak satu menaruh harapan kepadanya. Mereka disatukan namun mendapat tentangan.

Edrina Rahman lakonan Faezah Elai adalah anak kepada Amelia namun mempunyai perwatakan yang agak ganjil dari segi imej. Edrina seorang gadis yang suka bersosial namun masih menyedari tahap dan batasan sebagai seorang wanita. Edrina juga mempunyai rupa paras yang menarik dan terlalu ghairah untuk mengejar populariti remajanya.

Edrina yang kehilangan bapanya sejak kecil tidak sebulu dengan Juita walaupun mereka kini sudah tinggal sebumbung kerana kedua-duanya mempunyai perwatakan dan penampilan yang sangat berbeza.

Drama Hartamas yang disiarkan menerusi ntv7 sejak semalam akan menemui penonton setiap Ahad jam 8.30 malam.





Info Diana

--------

Nama Sebenar: Rusdiana Rusdi

Asal: Den Hague, Holland

Umur: 24

Tarikh Lahir: 26 Mei 1985

Pendidikan: Diploma Pengiklanan dan Pemasaran dari Institut Latihan Komunikasi Pengiklanan.

Hobi: Futsal, pool

Drama: Kasih Suci, Ampang Madikal dan Hartamas

Pengacaraan: Whoa! (ntv7), Euro 2008 (ntv7)





Info Faezah

-----------



Nama Sebenar: Noor Faezah Elai

Tempat Lahir: Gelugor, Pulau Pinang

Tarikh Lahir: 16 Ogos 1982

Status: Bujang

Adik-Beradik: Anak sulung daripada tiga beradik

Pendidikan: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Hobi: Mendengar muzik

Kerjaya: Pelakon, Pengacara dan model

Filem: Otai

Drama: Cinta & Keadilan, Enigma, Cempaka Berbunga, Sitkom Puteri, Sutera Maya dan Hartamas

Iklan: Kotex, Canon, Milo, Radox, Vanish, Celcom

Hos Rancangan: Mango TV (8TV), TV Trivia (TV3), Inspirasi Comel (RTM), Gegar U (Astro) dan Hypermarket Saga (TV9)

Pencapaian: Best TV Look Elite Model Search 2006 sempena KL Fashion Week dan 50 Goergeous People majalah Female

No comments:

Post a Comment