Saturday, June 27, 2009

Pesta Cahaya temukan mereka Jaclyn Victor, M Subash




Jaclyn Victor, M Subash semakin menyerlah dalam dunia seni tanah air

SENGAJA B*Pop menemukan dua entiti yang semakin menyerlah dalam bidang seni masing-masing Selasa lalu - Jaclyn Victor, 30, (Jac) jagoan dalam bidang nyanyian manakala M Subash, 38, (Subash) di gelanggang seni lakon.

Kedua-dua penggiat seni ini menyerlah dalam sebuah industri yang bukan saja unik dari segi kesejagatan masyarakatnya yang berbilang kaum tetapi juga satu industri yang hakikatnya dimonopoli orang Melayu.

Bersandarkan hakikat itu, Studio B*Pop jadi saksi pertemuan sulung penuh bermakna juara Malaysian Idol musim pertama, Jac atau pemilik nama sebenar Jaclyn a/p Joshua Thanaraj Victor yang mula selesa bergelar pelakon dan pengarah filem eksperimentasi berani berjudul Pensil, arahan dan lakonan Subash atau nama sebenar Subash a/l Manokaran sendiri.



Mengakui kagum dengan keazaman dan semangat tegar dimiliki Subash menongkah arus sambil meranduk industri perfileman tanah air yang rata-rata di monopoli orang Melayu, pengalamannya sendiri membintangi filem Talentime arahan Yasmin Ahmad ternyata membuka mata mengenai hakikat sukarnya bergelar anak wayang.

“Laluannya bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila timbul kekeliruan dan salah tanggapan apabila saya tidak dapat membintangi filem Estet arahan Mamat Khalid akibat jadual kerja yang tidak mengizinkan. Memang mengganggu fikiran tapi lama kelamaan ia lenyap bersama angin lalu.” jelasnya yang melihat hal itu sebagai asam garam dalam kehidupan bergelar anak seni.

Bercerita pengalaman bekerja dengan pengarah Sepet, Gubra dan Mukhsin itu, tiga bulan saja sudah dihabiskan khusus untuk menjalani latihan intensif, demikian teliti dan beratnya penekanan pengarah Yasmin terhadap penjiwaan watak dan perwatakan. Padahal babak yang dilakonkan Jac sebagai Bhavani dalam filem yang masih berlatar sosial hanya berlangsung pada 23 Ogos hingga 28 Ogos lalu.

Juara Kategori Persembahan Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu 2008 menerusi lagu Ceritera Cinta (duet bersama Lah VE), tidak pernah melupakan bidang nyanyian, gelanggang di mana semuanya bermula. Pengembaraan dan pengalaman yang ditempuh ketika penggambaran Talentime membuat dia melihat bidang nyanyian pada perspektif yang lebih berbeza.

“Nyanyian adalah nafas dan kehidupan bagi saya, mana mungkin ia dipinggirkan. Cuma apa yang saya dapati, selepas melangkah ke bidang lakonan keupayaan untuk memahami dan mengingati bait lirik sesebuah lagu jadi lebih mudah dan pantas,” ujarnya yang cukup manis mengenakan sari berwarna ungu.

Lakonan mengajar kita memberi nyawa kepada setiap dialog yang akan dizahirkan mengikut keperluan babak, begitu juga dengan lirik lagu, tatkala kita memahami pengisiannya maka penzahirannya bukan saja lebih sempurna malah memberi impak berbeza.

Tambahnya yang masih sempat diusik manja Subash ketika sesi fotografi, dalam masa tiga minggu mendatang ini dia akan mula sibuk mengumpul material untuk dimuatkan ke dalam album terbaru dalam bahasa Melayu.

Bawa Pensil ke Chennai

SEGAK mengenakan pakaian tradisi yang biasa digayakan si jejaka sewaktu perayaan, sutradara kelahiran Terengganu ini setuju untuk masuk ke dalam industri filem bukan kerana wang sebaliknya lebih kepada tarikan integrasi nasional dan semangat nasionalisme yang menebal dalam diri.

“Saya suka dan menghargai nilai budaya Melayu biarpun dilahirkan sebagai pemuda berdarah India. Mungkin kerana latar belakang di mana saya dilahir dan dibesarkan, dari darjah satu hingga enam menuntut di sekolah Cina dan diteruskan pula di sekolah Melayu menjadikan pandangan saya terbahagi kepada tiga perspektif berbeza,” jelasnya yang cukup tertarik dengan kesopanan dan kesantunan budaya Melayu termasuk amalan ajaran Islam yang menyeluruh dan mementingkan kesederhanaan sebagai cara hidup.

Terpilih antara lima calon Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21, Ogos lalu nyata memberi impak berbekas walaupun tidak memenangi kategori utama. Filem yang hanya berbekal bajet RM400,000 ini bukan saja akan menyertai Festival Filem Antarabangsa India ke-39 di Goa dari 22 hingga 27 November malah terdahulu pada 6 November akan berlangsung Tayangan Perdana Pensil di Chennai, India.

Peluang kunjungi keluarga, sahabat

BERCAKAP mengenai sambutan Pesta Cahaya esok, biarpun Jac tidak menyambutnya namun dia tidak pernah lupa mengunjungi rakan karib yang menyambut Deepavali setiap tahun.

“Memandangkan show pun tidak banyak, jadi bolehlah saya luangkan masa berkunjung ke rumah sahabat handai yang sudah awal-awal lagi menghantar kad jemputan mengajak saya beraya bersama mereka,” katanya yang turut ditemani ibu, Maggie Victor. Sementara itu, Deepavali buat Subash tahun ini cukup sederhana.

“Ibu sudah tiada, jadi saya akan ke rumah kakak di Rawang, Selangor dan berkemungkinan mengunjungi keluarga abang di Johor, sebelum kembali sibuk dengan pemilihan barisan pelakon yang bakal membintangi filem terbaru Jom La C.I.U.M yang akan memulakan penggambarannya sekitar November ini,” katanya.

Menyentuh soal jodoh, kedua-duanya nyata berat mulut untuk berkongsi kisah peribadi kerana memikirkan kerjaya seharusnya diberikan keutamaan. Namun hakikatnya, hati masing-masing sudah dimiliki.

Jika Jac yang sudah pun mengikat pertunangan dengan jejaka berbangsa Inggeris belum lagi menetapkan tarikh menuju gerbang bahagia memandangkan jadual kerja yang padat, Subash yang juga tenaga pengajar sambilan untuk mata pelajaran biologi, fizik, kimia dan matematik tambahan di Genius Parade Tuition Centre pula memiliki hati seorang gadis Melayu.

“Jujurnya saya jatuh cinta dengan Islam sejak lama dulu. Mungkin ia sedikit sebanyak menjawab banyak persoalan mengapa saya sering menerapkan nilai positif dan amalan Islam yang suci dalam setiap naskhah nukilan saya,” kata Subash yang akan memeluk Islam pabila tiba detik dan waktunya nanti.

INFO M SUBASH:

  • Pada FFM21, filem Pensil dicalonkan dalam kategori Cerita Asal Terbaik, Pengarah Harapan, Pelakon Lelaki Harapan, Poster Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik.

  • Pensil menerima Anugerah Khas Juri kerana ia mengetengahkan nilai kemanusiaan dan kesedaran terhadap orang kurang upaya (OKU), manakala Mak Mah (Ruminah) dinobatkan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

  • Filem yang hanya berbekal bajet RM400,000 ini bukan saja akan menyertai Festival Filem Antarabangsa India ke-39 di Goa dari 22 hingga 27 November malah terdahulu pada 6 November akan berlangsung Tayangan Perdana Pensil di Chennai, India.

  • Subash mengharapkan pihak penerbitan sanggup melaburkan kos yang lebih dalam filem Jom La C.I.U.M bagi menghasilkan produksi dengan nilai artistik yang tinggi.

  • Ramai pemerhati filem percaya Pensil filem pertama Subash adalah filem yang berjaya walaupun kejayaan itu dikecap dalam waktu yang agak lambat.

  • Subash mahu mengikis persepsi dan pandangan masyarakat dengan mentaliti jumud dan beranggapan, filem yang berjaya hanyalah filem yang meletup di pawagam.

  • INFO JACLYN VICTOR:

  • Anak sulung daripada empat beradik ini pernah memenangi vokal terbaik menerusi lagu Cerita Cinta duetnya bersama Lah VE pada Anugerah Juara Lagu ke-22.

  • Pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan Asian Idol pada tahun 2007, bagaimanapun penyanyi dari Singapura, Hady Mirza yang ditabalkan sebagai juara.

  • Menjadi juara Ikon Malaysia yang pertama bagi kategori solo.

  • Pernah berduet dengan Vince menerusi lagu runut bunyi High School Musical 2, You Are The Music yang turut dirakamkan ke dalam bahasa Malaysia dan diberi judul Kau Muzik Di Hatiku.

  • Sebelum menyertai pertandingan nyanyian Malaysian Idol (MI), Jac pernah menjadi penyanyi di kelab dan hotel seluruh Malaysia selama lapan tahun.

  • Memenangi anugerah emas ketika menyertai Shanghai Music Festival pada 2005 dan mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-20 (A JL20) serta kategori Balada, kedua-duanya menerusi lagu Gemilang. Juga Penyanyi Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2006.

  • Menerusi AIM13, Jac menang empat kategori sekali gus termasuk Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu, kesemuanya menerusi lagu dan album Gemilang serta Persembahan Vokal Wanita Terbaik AIM14.

    Pakaian: M Subash tajaan Sneha Collection Resources

    Solekan Jaclyn Victor: Deq Sha
  • No comments:

    Post a Comment