Nur Fazura |
Aktres popular nafi bercinta dengan tentera, sebaliknya pernah intim dengan kerabat Pahang
KALI terakhir Pelakon Nur Fazura Sharifudin atau Fazura dipilih sebagai gadis muka depan Bintang Popular pada 4 Disember 2005. Kini, selepas dua setengah tahun, barulah dia berpeluang muncul sebagai penghias muka depan sisipan ini yang juga lebih dikenali sebagai B*Pop, sesuai dengan wajah baru.
Orangnya masih sama - cantik, mudah mesra, gemar bergurau dan tidak pernah menongkat dagu sekalipun namanya terus meniti di bibir peminat, lebih-lebih lagi drama bersiri lakonannya, Ezora kini menjadi bualan hangat.
Pun begitu, sepanjang lima tahun bergelar anak seni, kontroversi paling hebat pernah melanda hidupnya apabila dia terbabit dengan pergaduhan di sebuah kelab sehingga mengheret dirinya ke mahkamah. Fazura terpukul hebat dengan kontroversi itu apabila dia hilang kerjaya seninya. Hidupnya dalam kegelapan, ke mana saja dia pergi, orang asyik bercakap isu yang sama sehingga kadang kala dia rimas dan lebih gemar bersendiri.
Mendung berlalu, mentari kembali menyinar. Kehidupan Fazura menjelang 2008 mula menemui sedikit sinar di akhir terowong.
"Tahun ini peluang berlakon filem dan drama mencurah-curah. Mungkin masyarakat sudah memaafkan saya. Saya dapat rasakan, sekarang ke mana saja saya pergi, orang memberi kasih sayang. Saya bersyukur, petunjuk yang diberikan Allah. Saya dapat kembali diri yang dulu. Saya belajar daripada pengalaman hitam yang lalu untuk menjadi manusia lebih baik," kata Fazura sambil memberikan pelbagai pose istimewa dengan baju pengantinnya.
Pengalaman berdepan manusia hipokrit, bagaimana?
"Saya benci hipokrit! Musuh ketat saya manusia hipokrit. Kebanyakan rakan hilang dalam hidup saya terdiri di kalangan artis hipokrit. Namun, saya tak pernah rasa rugi, malah bersyukur di atas petunjuk yang diberikan-Nya," katanya tegas.
Fazura mempunyai episod percintaan yang menarik. Dia dikatakan pernah bercinta dengan juara pertama Asian Idol dari Singapura, Hady Mirza, apa komennya?
Akui pernah bercinta dengan Hady
"Terus-terang, saya pernah bercinta dengan Hady, namun kira-kira tujuh bulan saja. Dia cinta pandang pertama saya. Tapi, tak ada jodoh," akuinya jujur.
Sekadar mengusik dengan pertanyaan nakal, di mana kebenarannya apabila terdengar desas-desus, selepas putus cinta dengan Hady, Fazura pernah menjalin hubungan dengan seorang anggota tentera, justeru sejauh mana kesahihan khabar angin itu?
"Gosip itu sama sekali tidak benar! Sekalipun saya pernah melalui kegagalan dalam episod percintaan, namun saya tidak pernah kenal mahupun bercinta dengan mana-mana lelaki yang bertugas sebagai anggota tentera! Ternyata, ia sekadar khabar angin," jelas Fazura merungkai persoalan.
Terkini, heboh orang bercakap Fazura sudah pun menemui cinta baru. Pemuda bertuah yang dikatakan berjaya bertakhta di hati Fazura bukan insan biasa, sebaliknya kerabat raja Pahang. Menerusi ruangan Zubir Intip (Bintang Popular) terbitan 20 Januari 2008, Fazura pernah mengaku berkawan dengan Tengku Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Tengku Burn atau Tengku B, 23. Difahamkan, Tengku B masih menuntut di Melbourne, Australia.
Kenali Tengku B dua tahun lalu
Kini, sejauh mana perhubungan Fazura dengan Tengku B, adakah benar anda pasangan kekasih?
"Saya tak akan tipu peminat dan media. Namun, biarlah cerita peribadi seumpama itu hanya diketahui diri sendiri. Apa yang mampu saya katakan, antara saya dan Tengku B sudah saling mengenali selama dua tahun. Bagaimanapun, saya tetap berdoa untuk bertemu jodoh yang terbaik. Bagi saya, kalau sudah bercinta, hanya setia pada satu. Saya tak suka ganggu perhubungan cinta orang lain.
"Seperkara lagi, saya ini bukannya jenis perempuan yang gemar mengkhianati cinta. Jika niat kita tidak betul terhadap pasangan yang kita cintai, saya percaya kepada hukum karma!," kata Fazura berterus-terang.
Apa komen Fazura, sebelum bertemu Tengku B, anda dikatakan pernah bercinta dengan kerabat dari selatan tanah air? Namun, khabarnya percintaan itu tidak kesampaian apabila kerabat berkenaan, kini dilaporkan menjalin hubungan cinta dengan seorang selebriti terkenal. Difahamkan lagi, Fazura yang bertanggung jawab memperkenalkan kerabat berkenaan dengan selebriti itu. Apa kisah sebenarnya?
"Terus-terang saya katakan, saya dan kerabat itu tidak pernah bercinta, kami sekadar kenalan biasa. Benar, saya mengaku memperkenalkan kerabat itu kepada selebriti berkenaan selepas selebriti itu memberitahu dirinya tidak terikat dengan sesiapa, she�s lonely. Niat saya baik dan saya gembira apabila mendapat tahu mereka kini bahagia. Kerabat itu juga belum berpunya, tambahan pula dia seseorang yang disegani rakyat," akuinya lagi.
PROFIL: Nur Fazura
NAMA PENUH: Nur Fazura Sharifuddin
TARIKH LAHIR: 27 September 1983
ASAL: Pekan, Pahang
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Dato� Mahmud Mat, Pekan dan Kolej Stamford, Kuala Lumpur
IKLAN: Pantene dan Kalsio Sweets
PROGRAM TV: Teensworld (RTM2), MTV Jus dan MTV Pop Inc
FILEM: Bicara Hati, Qaisy & Laila, Senario XX, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi Cinta! (belum tayang), Kantoi (belum tayang) dan Pisau Cukur (mula penggambaran 15 Julai)
DRAMA: Inspirion, Dalam Hati Ada Cinta, Kasih Suci, Datin Diaries, Gol & Gincu The Series, Rendang Untuk Mentua dan Ezora (masih disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang)
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17)
DUTA: Olay.




















































No comments:
Post a Comment