Saturday, June 27, 2009

2 beradik berkongsi perasaan(siti)





Siti Nurhaliza tenang jawab gosip dan kontroversi terbaru mengenai pergolakan rumah tangga dengan Datuk K, manakala tiada jalan pintas bagi Saida gapai impian dalam bidang seni

ANTARA resipi kejayaan Datuk Siti Nurhaliza lebih 10 tahun bergelar anak seni, mampu bertahan sehingga hari ini walaupun sudah bergelar isteri ialah tidak melatah walau sentiasa berdepan gosip liar dan kontroversi panas!

Biarpun masih mengerjakan umrah di Tanah Suci bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau lebih mesra dengan panggilan Datuk K sejak 30 Ogos lalu, Siti bersedia menjawab soalan berbaur gosip ketika dihubungi B*Pop petang Rabu lalu.

Ketika itu di Makkah baru hendak masuk waktu Zohor, namun beliau tidak sedikitpun menolak apabila diminta menjawab soalan kontroversi rumah tangganya yang dikatakan bergolak.



Sejak dua tiga minggu lalu, ruangan pojok atau gosip akhbar mahupun di Internet, tersebar cerita kononnya Siti kini hidup bermadu selepas suaminya dikatakan sudah berkahwin lain dengan seorang pramugari, baru-baru ini.

Lebih menggemparkan industri hiburan, ada gosip di Internet kononnya sudah tersebar gambar Datuk K bersama pramugari yang dikatakan menjadi isterinya itu. Kisah Datuk K kahwin pramugari terus menjadi bualan media hingga kini, namun kesahihan berita itu belum dapat dipastikan.

Sebelum ini juga, ada desas-desus yang mendakwa Datuk K pernah dilihat bersama pramugari berkenaan bersiar-siar di Kota London!

Sebaik diajukan kesahihan gosip berkenaan, Siti tenang saja memberi jawapannya.

"Sebenarnya kami teringin sangat tengok gambar dimaksudkan itu jika ia benar wujud seperti yang dilaporkan dalam Internet. Mungkin pramugari berkenaan dilihat bersama suaminya yang juga menyimpan misai.

"Asal bermisai saja, orang akan ingat Datuk K! Mulalah mereka buat gosip dan cipta kontroversi baru.


"Bagi saya, gosip dan kontroversi terbaru mengenai pergolakan rumah tangga kami sekadar cubaan dan dugaan daripada Tuhan," katanya.

Dugaan Allah, katanya, datang dalam pelbagai bentuk, namun yang pasti, gosip rumah tangganya bergolak, termasuk dakwaan suaminya sudah berkahwin lain adalah tidak tepat.

"Saya bersyukur sangat kerana cerita seumpama ini datang dalam Ramadan. Siti percaya, segala baik atau buruk sesuatu perkara itu, Allah akan tunjukkan balasan.

Sebenarnya gosip di Internet seperti cerita atas angin. Mereka yang menulis atau menyebarkan cerita itu tidak ada identiti atau nama sebenar.

"Kita tak tahu kerja siapa, ibarat baling batu sembunyi tangan. Siti dah lali, gosip ada ketikanya betul, kadang-kadang pula hanya fitnah. Jadi, orang akan ambil kesempatan apabila gosip ada kebenarannya. Justeru, mereka beranggapan, gosip Datuk bersama pramugari berkenaan benar-benar berlaku," katanya.

Beliau berkata, walau apapun tanggapan orang di luar sana, tidak pernah terlintas di fikirannya perkara itu akan terjadi dalam rumah tangganya.

"Terus-terang Siti katakan, apabila tersebarnya gosip itu, Siti ada bertanyakan kesahihan cerita berkenaan kepada Datuk sendiri. Datuk menafikannya, Siti pula percaya kepada suami, antara kami sentiasa ada komunikasi.

"Sebenarnya apa yang berlaku ini, orang hanya nak tengok Siti melenting dan marah-marah. Setakat ini, Alhamdulillah, Siti masih mampu menanganinya. Namun, Siti hanya mampu berdoa minta dijauhkan perkara yang tidak diingini. Bagi Siti, dalam soal fitnah, perkara itu semakin menjadi-jadi.

Pemimpin kita juga tidak terlepas dengan fitnah, dunia akhir zaman," katanya dalam nada tenang.

Pun begitu, Siti tidak mahu cakap besar atau takbur, sekali gus menafikan sekeras-kerasnya gosip berkenaan.

"Sekiranya cerita yang digembar-gemburkan itu benar-benar berlaku dalam rumah tangga Siti, nak buat macam mana, Siti reda saja.

Mungkin itu ketentuan Tuhan pada Siti. Seperti Siti katakan tadi, Siti sentiasa berdoa supaya perkara tidak elok, tidak berlaku dalam kehidupan Siti bersama suami, insya-Allah," kata Siti yang meminta izin menamatkan perbualan untuk menunaikan solat Zohor.

Saida terkena tempias gosip adik

SELEPAS bergelar bintang Akademi Fantasia 6 (AF6), populariti kakak Siti Nurhaliza - Siti Norsaida atau lebih mesra disapa sebagai Saida saja, terus menuju puncak! Kini, dia bernaung sebagai artis Siti Nurhaliza Productions (SNP).

Single pertamanya, Sedalamnya Cinta mampu menembusi banyak corong radio popular. Pun begitu, tempias Siti yang sentiasa dihambat gosip dan kontroversi, terkena pada Saida yang baru saja bertatih dalam industri seni ini.

"Apabila saya membuat persembahan pasti orang bertanya perihal gosip Siti. Macam baru-baru ini, ketika menjayakan Marhaban Astro, ramai yang bertanya betul ke gosip adik (Siti) dimadukan? Saya hanya tersenyum... saya tidak mahu cakap apa-apa kerana percaya, Siti mampu menangani perkara itu.

"Sebagai kakak, saya pasti terkena tempiasnya. Selalunya, saya biarkan saja, lama-lama orang akan lupa," kata Saida yang sudah bertugas di bahagian kewangan, SNP sejak 1998 hingga hari ini.

Apabila menjadi artis SNP, Saida dikatakan memperoleh jalan mudah apabila Siti menyediakannya 'jambatan emas' untuk dia cepat diterima dalam dunia nyanyian. Apa komen Saida?

"Sekiranya saya menggunakan jalan pintas, buat apa saya bekerja keras masuk AF6.

Lebih baik rakam album terus memandangkan kemudahan ada. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dia (Siti) ada syarikat sendiri. Apabila ada kemampuan, tidak salah dia membantu saya. Tidak kisah apa orang mahu cakap. Yang penting, selepas AF6, Siti sekadar mengasah bakat saya, okeylah tu!," kata Saida yang ternyata seorang peramah.

Kata Saida lagi, apa yang penting, dunia nyanyian yang baru diceburinya ini harus mendapat restu suami dan memelihara tata susila sebagai seorang isteri.

"Bila sudah masuk bidang ini, saya harus memperbaiki segala kelemahan dan bekerja bersungguh-sungguh.

Saya juga harus bijak membahagikan masa antara karier dan keluarga. Siti pula sekadar membantu.

"Ramadan ini kali pertama saya bergelar seorang artis, banyak perbezaannya, paling ketara saya terpaksa meninggalkan keluarga apabila ada persembahan yang diatur pihak Maestro," katanya.



Info Siti Nurhaliza

NAMA PENUH: Siti Nurhaliza Tarudin

TARIKH LAHIR: 11 Januari 1979

ASAL: Kuala Lipis, Pahang

KELUARGA: Anak kelima daripada lapan beradik

LAGU POPULAR: Percayalah, Cindai, Nirmala, Purnama Merindu, Bukan Cinta Biasa dan Lagu Rindu

ANUGERAH & KEJAYAAN: Dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk, Anugerah Artis Profesional Malaysia daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan enam kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang PopularBerita Harian (ABPBH)

PERKAHWINAN: Siti akhirnya sah menjadi isteri kepada tokoh perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006

ANAK: Mohamed Anas, 21; Mohamed Adib, 18; Mohamed Asyraf, 16 dan Mohamed Aazief, 10



Info Siti Norsaida

NAMA PENUH: Siti Norsaida Tarudin

TARIKH LAHIR: 13 Disember 1976

ASAL: Kuala Lipis, Pahang

KELUARGA: Anak keempat daripada lapan beradik

KEJAYAAN: Memasuki Akademi Fantasia musim ke-6 (AF6) dan terkeluar pada k onsert minggu ke-5

SINGLE: Sedalamnya Cinta dan kini menjadi artis Siti Nurhaliza Productions (SNP)

PERKAHWINAN: Mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 1996

ANAK: Empat orang yang berusia dari dua hingga 11 tahun

No comments:

Post a Comment