BUTTERWORTH: Kerajaan sedang mengkaji semula pelan tindakan lima tahun skim Rukun Tetangga (RT) bagi memperkasakan peranannya dalam usaha memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata kajian semula pelan sedia ada bagi tempoh 2006-2010 itu akan menjadi asas kepada pembentukan pelan baru untuk tempoh 2011-2015.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Minggu Perpaduan 2009 peringkat negeri Pulau Pinang di sini, beliau berkata tiga agenda penting akan menjadi tumpuan dalam pelan baru itu iaitu mengukuhkan perpaduan kaum, meningkatkan jaminan keselamatan dan memperbaiki kualiti hidup rakyat.
Katanya, terdapat 4,227 unit RT di negara ini dan lebih 80 peratus daripadanya bergerak aktif mempromosikan semangat perpaduan, kejiranan dan permuafakatan menerusi aktiviti ekonomi, kemasyarakatan, agama dan sebagainya.
Mengenai penggantungan Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan, selama tiga tahun oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti minggu lalu, Koh yang juga Presiden Gerakan berkata pihaknya masih menunggu rayuan daripadanya.
Katanya, Huan digantung kerana mengancam keluar parti dan didakwa mengkritik kepimpinan parti dan diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan berhubung hukuman tersebut.
"Mengapa perlu menghebohkan perkara ini secara terbuka dan sebarang pertimbangan untuk memendekkan tempoh penggantungan keanggotaan bergantung kepada rayuannya," katanya.
Ketika ditanya kedudukan Huan dalam parti, beliau berkata berdasarkan perlembagaan parti mereka yang digantung keanggotaanya secara automatik juga digantung daripada semua jawatan yang disandang. - Bernama
No comments:
Post a Comment