![]() |
Mila, Elyana sedia berhijrah demi kebahagiaan keluarga
PERTEMUAN bersama dua artis remaja popular, Mila dan Elyana di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, berlangsung dalam suasana ceria baru-baru ini. Masing-masing sibuk memperkatakan harapan mereka sempena Maal Hijrah atau 1 Muharam esok, selain kedatangan tahun baru yang menjelang tiba tidak lama lagi.
Bagi Mila atau nama sebenarnya, Nursyarmilla Jirin, sambutan kali ini cukup bermakna kerana berjaya melakukan `penghijrahan� terbesar untuk keluarganya apabila berjaya mengubah nasib ibu bapa serta dua adik perempuannya yang masih kecil dan bersekolah.
Malah, Juara Akademi Fantasia Musim Kelima (AF5) ini, tiada saat lain lebih membahagikannya selain melihat keluarganya menikmati kehidupan lebih sempurna kini, hasil titik peluhnya berkecimpung dalam bidang nyanyian.
![]() |
Mila |
"Alhamdulillah, sejak bergelar juara AF5 dan menjadi artis rakaman, kehidupan kami sekeluarga bertambah senang... tidak kaya tetapi senang. Ini satu transformasi agak baik untuk keluarga kami, malah saya menganggapnya satu 'penghijrahan' yang amat bermakna. Namun, ayah selalu berpesan supaya kami tidak leka dengan kesenangan yang dikecapi dan sentiasa mengingati kepayahan hidup kami dulu. Dia juga ada berpesan, yang harus dicari bukan kemewahan tetapi kebahagiaan keluarga. Itulah nikmat yang sebenarnya," katanya.
Katanya, sebelum mengecapi kejayaan hari ini, beliau pernah bekerja sebagai operator kilang dan pembantu pentadbiran di pejabat guaman sebelum berjinak dengan bidang nyanyian dengan membuat persembahan di beberapa lounge hotel sekitar Pulau Pinang.
"Kami bukan orang senang. Sebab itulah, saya terus bekerja selepas habis peperiksaan SPM untuk membantu ayah dan mak menyara keluarga kami. Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan itu kerana ia banyak memberi saya pengajaran mengenai erti kehidupan yang sebenar," katanya.
Beli rumah untuk keluarga
Bagaimanapun, Mila berkata, zaman susahnya sudah berlalu dan beliau cukup berbangga kerana dapat memberikan kehidupan lebih baik kepada ibu bapa serta adik-adiknya yang kini berpindah bersamanya dengan menetap di Kota Damansara, Petaling Jaya.
"Saya rasa cukup tenang apabila melihat ayah dan mak sentiasa tersenyum serta tidak lagi terkejar sana-sini mencari rezeki. Cukuplah 20 tahun mereka bekerja siang dan malam mencari rezeki untuk membesarkan kami. Biarlah mereka berehat di rumah dan saya keluar bekerja. Cukuplah dengan pengorbanan mereka selama ini. Tapi, mereka tidak boleh duduk diam. Sebab itulah, saya membuka syarikat keluarga, LuvMilla Corporation dan MC Voices & Stars untuk mereka uruskan," katanya.
![]() |
Elyana |
Mila mengakui tidak banyak perancangan yang dibuatnya sempena kedatangan tahun baru tidak lama lagi, kecuali mahu membeli rumah baru untuk keluarganya di Kuala Lumpur.
"Sekarang kami menyewa. Jika ada rezeki lebih, memang saya mahu membeli rumah lebih besar, juga di kawasan sama untuk didiami kami sekeluarga. Buat masa ini, itu saya perancangan saya sebab keperluan lain, termasuk kereta sudah ada termasuk kereta hadiah kemenangan saya," katanya.
Bagaimanapun, dalam kesibukannya membuat perancangan untuk membeli rumah baru itu, beliau turut mengambil langkah berjimat-cermat berikutan keadaan ekonomi dunia tidak stabil sejak kebelakangan ini, sekali gus negara ini turut terkena tempiasnya.
"Walau sibuk macam mana pun, saya tetap mengambil tahu perkembangan ekonomi dunia. Bimbang juga kalau keadaan terus meruncing. Sekarang memang rezeki tengah melimpah ruah, banyak tawaran menyanyi diterima. Tahun depan belum pasti lagi. Sebab itulah, saya selalu ingatkan diri sendiri dan adik-adik supaya mengamalkan perbelanjaan berhemat, selain menyimpan. Ini semua sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Elyana manis bertudung
Siapa sangka di sebalik kontroversinya berkaki ayam ketika bertanding dalam Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) tahun lalu, gadis lincah ini kelihatan cukup anggun bertudung dan mengenakan busana Muslimah sempena fotografi khas Maal Hijrah kali ini.
Beliau tidak sedikit pun kelihatan kekok menggayakan imej itu, malah turut menunjukkan kematangannya walaupun usia baru mencecah 21 tahun.
"Bertudung sebenarnya bukan perkara asing bagi saya. Malah, sejak berusia 13 tahun lagi saya sudah memakai tudung kerana pihak sekolah mewajibkan setiap pelajar perempuan Islam bertudung. Sebab itulah saya tidak kekok memakai tudung.
"Saya memang tiada masalah untuk memakai tudung, baju kurung, jubah dan sebagainya mengikut kesesuaian majlis yang dihadiri. Ini juga sebagai penghormatan terhadap sesuatu tempat seperti surau dan masjid," katanya.
Elyana juga tidak keberatan melakonkan apa-apa watak yang memerlukannya bertudung kereana sebagai pelakon, menjadi tanggungjawabnya untuk menjiwai sebarang watak yang diberikan kepadanya dengan baik.
"Bila sudah diarahkan, saya perlu berlakon dengan baik tetapi tidak banyak tawaran berlakon, yang memerlukan saya bertudung diterima setakat ini. Insya-Allah, kalau ada tawaran selepas ini, saya sudi menimbangkannya," katanya.
Bagaimanapun, katanya, beliau masih belum bersedia untuk tampil bertudung sepenuhnya.
"Ini bukan boleh dipaksa-paksa kerana kesedaran itu perlu datang dengan sendirinya, dari dalam diri kita... dari hati yang ikhlas. Belum sampai 'seru' saya bertudung agaknya. Tidak mustahil saya akan bertudung suatu hari nanti, mana tahu selepas saya berkahwin nanti. Ketika itu, mungkin juga saya sudah berhenti menyanyi dan melakukan kerja yang sesuai dengan imej baru saya. Mungkin, saya akan membuka perniagaan sendiri. Ini satu `penghijrahan� terbesar dalam hidup saya dan perlu difikirkan baik-baik,� katanya.
Mahu buka butik kafe
Terkenal dengan fesyen funky, selain imej 'gila-gila' yang sering digayakan beliau sebelum ini, sesuai keremajaannya, Elyana mengakui cukup menggemari bidang fesyen, malah menyimpan hasrat untuk membuka butiknya sendiri.
"Saya juga suka makan, malah tidak melepaskan peluang berkunjung ke mana-mana restoran di ibu negara yang menyediakan hidangan lazat. Mungkin, saya menggabungkan bidang fesyen dan makanan, dengan membuka butik kafe. Di Malaysia pun, sudah ada banyak restoran yang menggunakan konsep sebegini. Ini satu perkembangan baik dan membuktikan konsep butik kafe mempunyai prospek cerah. Ini memang ada dalam senarai azam tahun baru saya," katanya.
Sempena Maal Hijrah dan kedatangan tahun baru Masihi, beliau juga berharap untuk meneruskan pengajiannya yang terhenti seketika sebelum ini kerana mahu memberikan tumpuan dalam bidang nyanyian dan lakonan.
"Selepas SPM, saya pernah mendapat tawaran ke sebuah universiti tetapi terpaksa dilupakan kerana sibuk menyanyi dan berlakon. Namun, tidak bermakna ia akan terhenti setakat itu dan bagi saya, ada banyak cara dan tempat untuk kita belajar," katanya yang kini makin popular dalam lakonan menerusi drama bersiri, Renjis.
"Sebenarnya, saya cepat bosan dengan sesuatu benda. Itu memang sifat saya dari dulu. Sebab itulah, dari bidang nyanyian, saya kembangkan karier saya ke bidang lakonan sekarang. Mungkin, selepas ini saya mahu cuba dalam bidang pengacaraan.... mungkin tahun depan," katanya.
Persiapan untuk AJL23
Ditanya mengenai persiapannya yang akan bertanding dalam kategori pop rock AJL23 bulan depan, Elyana yang kini dikatakan hangat bercinta dengan seorang pengusaha restoran sushi berkata, tumpuannya lebih kepada aspek vokal.
"Sebenarnya, tidak banyak sangat persiapan dibuat kecuali memberikan tumpuan pada latihan vokal. Bagi saya, dalam pertandingan lagu sebegini, aspek yang diberi penekanan selalunya lebih kepada komposisi lagu, penulisan lirik dan vokal penyanyinya," katanya.
Malah, beliau mengakui tidak begitu menggemari konsep persembahan yang terlalu 'sarat' kerana personalitinya agak ringkas, terutama dari segi pemakaian, sesuai dengan usianya yang masih di peringkat awal 20-an.
"Jika anda mengenali saya, saya seorang yang selamba. Ini memang personaliti saya, ada ketikanya terbawa-bawa ketika saya membuat persembahan. Sebab itulah, anda boleh saksikan sendiri persembahan saya selalunya ringkas dan bersahaja... itulah diri saya," katanya.
Pada masa sama, Elyana tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi mengenai peluangnya dalam AJL23.
"Ini kali kedua saya berjaya ke peringkat akhir, malah saya sendiri pun tidak menyangka lagu ini (Kalis Rindu) layak terpilih ke AJL23. Maklumlah, ketika bertanding di peringkat separuh akhir dulu pun, persaingan cukup sengit hingga juri pun pening kepala untuk membuat keputusan. Sebenarnya, semua penyanyi dan lagu bertanding dalam setiap kategori hebat-hebat belaka sehingga sukar diramalkan siapa bakal dinobatkan sebagai juara. Bagi saya, AJL23 adalah pertandingan `best of the best� dan semua peserta adalah pemenang," katanya.
Nama Sebenar: Erneelya Elyana Emrizal
Usia: 21 tahun
Tarikh Lahir: 5 Julai 1987
Asal: Shah Alam, Selangor
Keluarga: Anak Kedua (dari empat beradik)
Profesion: Penyanyi dan Pelakon
Mula Menyanyi: 14 tahun
Album: Satu, Segalanya, Bicara Mata Ini dan Jadi Diriku
Lagu Popular: Niat, Tak Tercapai Akalmu dan Kalis Rindu
Drama/Telefilem: Dunia Baru, Sabrina, Susuk dan Renjis
Filem: Gong, Dunia Baru The Movie, Dukun dan Seriau (VCD)
Pencapaian Terbaik: Artis Baru Wanita Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002)
Nama Sebenar: Nursyarmilla Jirin
Usia: 21 tahun
Tarikh Lahir: 23 Disember 1987
Asal: Pulau Pinang
Keluarga: Anak Sulung (dari tiga beradik)
Mula Menyanyi: 17 tahun
Profesion: Penyanyi, Pengacara dan Ahli Perniagaan
Pengalaman Kerjaya: Operator Pengeluaran, Pembantu Tadbir dan Penyanyi Lounge
Album: Persis Mutiara
Lagu Popular: Mila Bila Cinta, Aku Lebih Tahu dan Gila
Program TV: Wazzup Mila
Syarikat:
Pencapaian Terbaik:
No comments:
Post a Comment